FGV lancar Lembah Agro Chuping dengan kerjasama NCIA | DagangNews Skip to main content

FGV lancar Lembah Agro Chuping dengan kerjasama NCIA

Pengerusi FGV Holdings Berhad, Datuk Dzulkifli Abd. Wahab dan Datuk Seri Jebasingam Issace John, Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John ketika melancarkan Lembah Agro Chuping FGV disaksikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi tadi.
 

 

 

KUALA LUMPUR 25 Jun - FGV Holdings Berhad (FGV) telah melancarkan Lembah Agro Chuping FGV (FCAV) secara rasmi sempena Mesyuarat Majlis Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) yang diadakan hari ini.

 

Menurut syarikat perladangan itu, FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd (FGVIF), anak syarikat milik penuh FGV merancang menjadikan Chuping sebagai kawasan perladangan berskala besar untuk aktiviti pertanian utama.

 

"Ia bertujuan bagi membangunkan Ladang Tanaman Kontan Bersepadu Bernilai Tinggi selain berpotensi untuk pembangunan ladang tenusu bersepadu berskala besar sepenuhnya," katanya dalam kenyataan. 

 

Mesyuarat Majlis NCIA ke-26 yang diadakan secara sidang video itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

 

Pada mesyuarat yang sama, beliau turut menyaksikan lapan syarikat menyatakan komitmen pelaburan berimpak tinggi di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Perlis. 

 

Pembangunan FCAV ini sejajar dengan Zon Ekonomi Pertanian (NAEZ) Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang bakal menjadi destinasi pelaburan baharu di wilayah ini bagi sektor swasta sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa yang turut disokong oleh pelbagai inisiatif kerajaan.

 

FGV berkata, projek makanan agro bersepadu sepenuhnya ini akan menggalakkan amalan terbaik pertanian dan makanan yang mampan menerusi pelaksanaan strategik pekeliling inisiatif ekonomi dalam rantaian nilai FCAV. 

 

"Malah, ia turut memberi peluang kepada kehidupan yang lebih baik bagi masyarakat setempat di samping menjamin aspek keselamatan makanan negara," katanya. - DagangNews.com