FGV lantik 4 Pengarah Bukan Eksekutif Bebas baharu | DagangNews Skip to main content

FGV lantik 4 Pengarah Bukan Eksekutif Bebas baharu

Dato’ Nonee Ashirin Dato’ Mohd Radzi, seorang daripada 4 ahli Lembaga Pengarah baharu FGV.


 

KUALA LUMPUR 3 Julai – FGV Holdings Berhad (FGV) mengumumkan pelantikan empat Pengarah Bukan Eksekutif Bebas baharu, seterusnya meningkatkan lagi jumlah pengarah daripada lima kepada sembilan ahli Lembaga Pengarah syarikat.

 

Empat ahli Lembaga Pengarah yang baharu dilantik ialah Dato’ Nonee Ashirin Dato’ Mohd Radzi, berkuatkuasa 30 Jun 2021, dan Dato’ Mohd Rafik Shah Mohamad, Nik Fazila Nik Mohamed Shihabuddin dan Kasmuri Sukardi, berkuatkuasa 1 Julai 2021.

 

Pelantikan-pelantikan baharu ini memiliki pelbagai latar belakang yang membawa bersama berbagai kepakaran bagi membimbing FGV dalam meneruskan perjalanan transformasi serta penyampaian objektif strategiknya.

 

Mengulas mengenai pelantikan-pelantikan baharu tersebut, Dato’ Dzulkifli Abd Wahab, Pengerusi FGV berkata, “Bagi pihak Kumpulan, saya dengan sukacitanya mengalu-alukan keempat-empat tokoh cemerlang ini ke dalam Lembaga Pengarah FGV.”

 

“Mereka membawa bersama pelbagai pengalaman dan pengetahuan bagi membantu FGV maju ke hadapan dan kami menantikan sumbangan mereka yang tidak ternilai. Kami yakin kepimpinan baharu ini akan meningkatkan lagi kedudukan FGV dalam usaha untuk menjadi pemain pertanian bersepadu dan mampan terkemuka di dunia,” katanya dalam kenyataan di sini.

 

Menurut FGV, Dato’ Nonee Ashirin Dato’ Mohd Radzi, 49, kini merupakan Rakan Kongsi di Arthur Yeong Nonee Ashirin Advocates & Solicitors, dan sepanjang kerjayanya, beliau telah mengumpul lebih daripada 20 tahun pengalaman dalam pelbagai industri khususnya dalam bidang aeroangkasa, pertahanan dan keselamatan antarabangsa. 

 

Beliau memulakan kerjayanya pada tahun 2001 sebagai peguam di Mohammad Ali & Co dan telah berkhidmat selama tiga tahun sehingga 2003, sebelum  menyertai Eurocopter Malaysia (kini dikenali sebagai Airbus Helicopters Malaysia Sdn Bhd) pada tahun 2003 sebagai Pengurus Pembangunan Perniagaan.

 

Pada tahun 2006, beliau menyertai Unique Globe Sdn Bhd dan dilantik sebagai Naib Presiden, Pembangunan Perniagaan. Beliau kemudiannya menyertai HELIPARTNER Sdn Bhd pada tahun 2009 sebagai Naib Presiden Pembangunan Perniagaan dan Jualan sehingga 2010. Pada tahun 2011, Dato’ Nonee Ashirin telah dilantik sebagai Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Turbine Asia Sdn Bhd dan telah berkhidmat selama tujuh tahun sehingga 2017.

 

Dato’ Mohd Rafik Shah Mohamad, Pengarah Bukan Eksekutif Bebas FGV Holdings Berhad
Dato’ Mohd Rafik Shah Mohamad

 

Dato’ Mohd Rafik Shah Mohamad, 71, memiliki pengalaman lebih 33 tahun dalam industri makanan dengan memegang pelbagai jawatan pengurusan kanan. Setelah bersara, beliau berkhidmat sebagai pengarah di beberapa buah syarikat. Beliau juga merupakan seorang Akauntan Bertauliah dari Institut Akauntan Malaysia.

 

Mohd Rafik memulakan kerjayanya di Esso Malaysia Bhd sebagai penganalisis pada tahun 1973. Beliau kemudiannya menyertai Scott & English Malaysia Sdn Bhd sebagai Ketua Akauntan pada tahun 1975 sebelum menyertai Industrade Holdings Sdn Bhd sebagai Pengurus Kewangan Kumpulan pada tahun 1980. Pada tahun 1981, beliau telah memulakan kerjayanya di Nestle dan memegang pelbagai jawatan kanan di bidang kewangan dan pengurusan kumpulan multinasional di dalam dan di luar negara sebelum beliau bersara sepenuhnya pada tahun 2006.

 

Selepas bersara, Mohd Rafik dilantik sebagai Pengarah Nestle (Malaysia) Berhad selama 12 tahun sebelum bersara pada April 2021. Beliau juga merupakan Pengerusi di beberapa buah syarikat antaranya Pengerusi di Malaysian Agrifood Corp. Bhd dan Biotropics Malaysia Bhd. Beliau juga merupakan bekas Pengarah FGV sebelum penyenaraian awam.

 

 

Nik Fazila Nik Mohamed Shihabuddin,
Nik Fazila Nik Mohamed Shihabuddin

 

Nik Fazila Nik Mohamed Shihabuddin, 54, memiliki pengalaman lebih dari 33 tahun dalam bidang perakaunan, kewangan, jaminan perniagaan dan pelbagai urus niaga korporat di sepanjang kerjayanya. Kini, beliau merupakan Pengarah Urusan Kumpulan di Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM), iaitu jawatan yang disandang sejak 2017. Terdahulu, beliau merupakan bekas Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan (CFO) dari tahun 2012 sebelum dinaikkan pangkat ke jawatan sekarang.

 

Nik Fazila memulakan kerjayanya di Price Waterhouse (kini dikenali sebagai PricewaterhouseCoopers [PwC]) dalam bidang audit dan khidmat nasihat perniagaan dan telah berkhidmat di PwC selama 10 tahun dari 1988 hingga 1998. Jawatan terakhir beliau di PwC ialah sebagai Pengurus Kanan di bahagian Audit &  Penasihat Perniagaan.

 

Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat di tiga syarikat senaraian awam yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Securities iaitu di Sapura Telecommunication Berhad, KUB Malaysia Berhad dan UDA Holdings Berhad sebagai Pengurus Besar, Kewangan dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO).

 

Sepanjang perkhidmatan beliau di syarikat-syarikat tersebut, selain bidang perakaunan, kewangan dan perbendaharaan, beliau turut terlibat dalam pelbagai urus niaga korporat yang terdiri daripada penggabungan dan pengambilalihan, penstrukturan semula korporat, skim pengaturan pemiutang serta pelaksanaan bayaran balik modal. Perkhidmatan terakhir beliau sebelum menyertai CCM adalah sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) di Biotropics Malaysia Berhad, yang merupakan anak syarikat Khazanah Nasional Berhad.

 

 

Kasmuri Sukardi
Kasmuri Sukardi

 

Kasmuri Sukardi, 70, merupakan seorang veteran industri dengan memiliki pengalaman lebih daripada 47 tahun  dalam pelbagai bidang yang melibatkan perladangan agripertanian seperti kelapa sawit, getah, koko dan kelapa.

 

Beliau memulakan kerjayanya pada tahun 1973 sebagai Penolong/Penolong Pengurus Kanan Ladang di Harrisons & Crosfield PLC (H&C) yang kemudiannya menjadi Harrisons Malaysian Plantations Berhad (HMPB) dan Golden Hope Plantations Berhad (Golden Hope).

 

Pada tahun 1982, beliau telah dilantik sebagai Pengurus Ladang dan seterusnya dinaikkan pangkat ke pelbagai jawatan lain antaranya Agen Pelawat Ladang, Pengurus Besar, Pengarah Perladangan dan Pengarah Kumpulan Perladangan Agripertanian sehingga beliau bersara pada tahun 2006.

 

Dari tahun 2006 hingga 2008, Kasmuri adalah Pengarah, Fungsi Khas dan kemudiannya menjadi Perunding, Jurulatih Utama untuk Golden Hope. Pada tahun 2008, beliau menyertai Poliplant Group, Indonesia & Clarity Resources Ltd, Hong Kong yang berpusat di Jakarta, Indonesia sebagai Lembaga Pengarah dan Pengarah Korporat & Operasi di mana beliau berkhidmat hingga 2015.

 

Dalam tempoh ini, Kasmuri telah berjaya memimpin pengembangan dan pengurusan lebih dari 50,000 hektar ladang kelapa sawit, yang kebanyakannya dari ladang hijau, di Ketapang, Kalimantan Barat, Indonesia. - DagangNew.com