FGV sasar 150,000 tan PKE dan produk makanan haiwan menjelang 2024 | DagangNews Skip to main content

FGV sasar 150,000 tan PKE dan produk makanan haiwan menjelang 2024

 

 


KUALA LUMPUR 11 Mac - FGV Holdings Berhad menyasarkan untuk mencapai 150,000 tan metrik (MT) jualan bagi dedak isirung sawit (PKE) dan produk makanan haiwan menjelang 2024.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, jualan domestik syarikat bagi PKE dan produk makanan haiwan telah meningkat daripada hanya 8,000 tan metrik (MT) pada 2018 kepada 39,000 MT tahun lalu dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 121%.

 

Katanya, bagi 2021, FGV memperuntukkan 75,000 MT bersamaan dengan 20% pengeluaran PKE tahunan kami untuk penghasilan makanan haiwan. 

 

"Berdasarkan statistik ruminan di Malaysia, keperluan konsentrat makanan haiwan adalah kira-kira 240,000 MT setiap tahun, di mana tahun lalu FGV telah membekalkan 17% daripada keperluan tersebut bagi memenuhi permintaan petani tempatan. 

 

"Sehubungan itu, kami akan dapat menyumbang sekitar 60% permintaan konsentrat makanan tempatan untuk haiwan ruminan menjelang 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

alma
Rangkaian produk ALMA yang dihasilkan FGV untuk haiwan ternakan.

 

 

Baru-baru ini, FGV melalui anak syarikatnya, FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd (FGVIF) melancarkan jenama makanan haiwan berkualiti tinggi ALMA, untuk perniagaan makanan haiwan dan makanan nutrisi haiwan milik FGV yang semakin berkembang.

 

Rangkaian produk makanan haiwan ALMA ini adalah bebas daripada antibiotik dan merangkumi formulasi yang sihat untuk makanan lembu dan lembu tenusu, makanan kambing dan biri-biri, makanan ayam dan ayam tempatan, makanan mineral semulajadi dan makanan tambahan untuk ternakan. 

 

Produk makanan haiwan ALMA mengandungi bahan-bahan yang diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) seperti biji-bijian, mineral dan vitamin, dan tidak mengandungi bahan buangan terlarang daripada haiwan seperti darah, tulang atau organ dalaman. 

 

Sumber dalaman PKE yang dapat dikesan juga sangat penting, yang merupakan salah satu ciri utama produk ini.

 

Menurut beliau, FGV akan terus menyokong industri makanan haiwan tempatan untuk kekal mampu diri. 

 

"Kami juga telah mewujudkan program pengedaran untuk memastikan makanan itu sampai ke petani tempatan dengan efektif di seluruh semenanjung dan akan meningkatkan jumlah pengedar tahun ini," tambahnya.

 

Bersempena dengan pelancaran produk ALMA, FGV dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) telah bekerjasama memberi bantuan kepada petani haiwan tempatan yang terjejas oleh situasi banjir di Selangor, Pahang, Kelantan dan Terengganu baru-baru ini. 

 

Sebanyak 800 beg makanan haiwan ALMA bersamaan dengan 40 MT, disumbangkan secara berperingkat kepada 300 petani dari 22 Februari hingga 7 Mac lalu. 

 

Setakat ini, FGV mengendalikan empat kilang penghancuran isirung yang terletak di Kuantan (Pahang), Pasir Gudang (Johor), Pandamaran (Selangor) dan Lahad Datu (Sabah) untuk menghasilkan PKE. - DagangNews.com