KUALA LUMPUR 6 Sept - Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa ahlinya untuk bersedia untuk menghadapai cabaran yang lebih sukar pada tahun hadapan selepas menjangkakan prospek ekonomi tidak sebaik tahun ini.
Presidennya, Tan Sri Soh Thian Li berkata, unjuran mengenai prospek ekonomi dunia mungkin tidak begitu positif.
"Sebagai pengeluar, kami perlu bersedia untuk menjadikan diri kami lebih berdaya saing.
"Pertama sekali, mereka perlu menaik taraf dan menambah baik teknologi selain perlu melatih semula serta meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan memastikan kewangan mereka dalam keadaan baik," katanya.
Bagaimanapun, Thian Li percaya, pengilang sudah bersedia untuk menghadapi cabaran pada 2023.
"Bergantung kepada seberapa pantas konflik Rusia-Ukraine (boleh diselesaikan), tetapi secara keseluruhan bagi Malaysia, dengan dasar yang betul, eksport kukuh kami sebagai negara perdagangan, kami percaya bahawa kami masih dapat berhadapan dengan detik sukar.
"Kami pernah menghadpi senario yang teruk iaitu semasa menghadapi PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).
"Setiap pengeluar yang menjalankan perniagaan sendiri, mereka harus menjangkakan keadaan yang lebih sukar pada masa akan datang dan kami yakin bahawa ali kami sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kebarangkalian," katanya selepas pelancaran Tinjauan Keadaan Perniagaan FMM-Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) untuk separuh pertama 2022.
Beliau berkata, pengilang-pengilang mengambil pendekatan berhati-hati pada 2HFY22 selepas berlaku peningkatan kos input, kadar faedah, kekurangan tenaga pekerja dan kesukaran melepaskan peningkatan kos akibat inflasi.
"Keadaan ini menjadikan ahli kami mengekalkan pelaburan mereka dan kemungkinan perniagaan mereka akan perlahan pada 2HFY22 dengan kos pengeluaran berada di tahap tertinggi tetapi mereka memiliki modal kerja yang mencukupi untuk enam bulan akan datang," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, tinjauan mendapati bahawa aktiviti pembuatan telah bertambah baik pada 1HFY22, isu kekurangan tenaga telah menghalang pengilang untuk memenuhi permintaan global yang semakin kukuh.
“Sejak lapan bulan lalu, kekurangan pekerja menyebabkan keseluruhan industri kerugian kira-kira RM50 bilion.
“Semasa pembukaan sempadan, kita harus mengambil peluang untuk meningkatkan pengeluaran untuk memanfaatkan permintaan global. Tetapi kerana kekurangan tenaga kerja, kami tidak dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran. Kami mungkin boleh mencapai jumlah perdagangan yang lebih tinggi jika kami mempunyai pekerja yang mencukupi,” katanya.
Tinjauan itu juga mendapati kekurangan pekerja serta kos bahan mentah dan kos pekerja yang tinggi akan kekal menjadi halangan utama kepada pengilang pada 2HFY22 selain cabaran lain seperti kenaikan kadar faedah serta kelemahan ringgit.
“Jika ringgit kita terlalu lemah, berlegar sekitar RM4.45 (berbanding dolar AS) dalam jangka panjang, (ia) akan melemahkan daya saing kita. Kami berharap Bank Negara Malaysia dapat membendung kelemahan ringgit secepat mungkin,” katanya. - DagangNews.com