Frontken kekal berdaya tahan di Taiwan - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Frontken kekal berdaya tahan di Taiwan - Maybank IB

Frontken Corp. Bhd

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 14 Julai - Syarikat penyedia perkhidmatan sokongan terkemuka industri semikonduktor, Frontken Corp. Berhad (Frontken) kekal berdaya tahan di Taiwan.

 

Maybank IB Research berkata, pihaknya tetap optimis terhadap prospek pertumbuhan syarikat berkenaan dalam aspek pesanan dan pengembangan perniagaan di negara berkenaan.

 

Firma itu turut mengekalkan saranan 'beli' saham Frontken dengan harga sasaran sesaham (TP) yang tidak berubah iaitu RM3.90.

 

Dalam pada itu, Frontken turut menyasarkan untuk menyelesaikan pembelian fasiliti baharu di Taiwan dalam masa terdekat, diikuti oleh kerja-kerja penambahbaikan/pengubahsuaian dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

 

Syarikat berkenaan turut merancang pengoperasian penuh kilang baharu seiring dengan pengeluaran cip canggih 3nm daripada pelanggan utama.

 

"Buat masa kini, ia dijangka akan berlaku menjelang pertengahan tahun 2022.

 

"Secara keseluruhan, kami tetap positif terhadap rancangan pengembangan itu kerana berpotensi menggandakan pengeluaran Frontken di Taiwan dalam jangka masa panjang.

 

"Kami tidak mengambil kira kesan perolehan yang besar daripada operasi kilang akan datang dalam unjuran tahun kewangan 2022 hingga 2023," jelas Maybank IB Research.

 

Dalam nota kajian yang sama, Maybank IB Research turut meletakkan jangkaan bahawa prospek jangka pendek masih cerah bagi Frontken.

 

Syarikat berkenaan turut mempunyai pelbagai syarikat semikonduktor yang berkaitan sebagai pelanggannya di negara pengoperasiannya.

 

"Ramalan perolehan bagi tahun kewangan 2021-2023 syarikat itu masih utuh sementara menunggu kemas kini operasi dan pendapatan selanjutnya.

 

"Pertumbuhan perolehan pastinya disokong oleh segmen semikonduktor dan kami percaya pemulihan sektor O&G juga mampu menjadi pemangkin pertumbuhan tambahan jangka pendek," ujar Maybank IB Research. - DagangNews.com