Funding Societies, CGC bekerjasama sedia pembiayaan tambahan RM30 juta menerusi Skim Jaminan Portfolio PKS Patuh Syariah | DagangNews Skip to main content

Funding Societies, CGC bekerjasama sedia pembiayaan tambahan RM30 juta menerusi Skim Jaminan Portfolio PKS Patuh Syariah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Jun - Funding Societies bersama Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) melancarkan pembiayaan tambahan RM30 juta menerusi Skim Jaminan Portfolio PKS Patuh Syariah (SME PG-i) bagi memacu pertumbuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menerusi akses pembiayaan lebih mudah.

 

Kerjasama itu merupakan susulan kejayaan program Jaminan Portfolio pertama CGC dengan Funding Societies berjumlah RM10 juta yang dilancarkan pada April 2023.

 

Selain menyediakan peruntukan yang lebih besar, skim SME PG-i ini telah dipertingkatkan dengan menyediakan pembiayaan modal kerja kepada segmen PKS terpinggir yang lebih luas, menerusi rumusan pembiayaan digital patuh syariah terkemuka Funding Societies. 

 

PKS yang layak akan terus mendapat akses kepada tempoh pembiayaan yang lebih panjang dan menikmati kadar faedah istimewa, terendah dalam kalangan portfolio pembiayaan Funding Societies yang sedia ada.
 

Pengasas Bersama & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Funding Societies | Modalku, Kelvin Teo berkata, Skim Jaminan Portfolio PKS patuh syariah ini adalah kesinambungan daripada pelan hala tuju produk Funding Societies yang memberi penawaran patuh syariah bagi  menyokong PKS Malaysia yang berkelayakan. 

 

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak berkata, dalam usaha pihaknya menyediakan akses pembiayaan kepada lebih banyak PKS, CGC telah melancarkan Jaminan Portfolio berjumlah RM10 juta pada April 2023 bersama Funding Societies, di mana ia telah mendapat sambutan menggalakkan daripada PMKS Malaysia yang terabai dan terpinggir. 

 

"Melihat kepada kejayaan tranche pertama, saya gembira kerana CGC melancarkan tranche kedua Jaminan Portfolio Islam sebanyak RM30 juta bersama Funding Societies. 

 

"Inisiatif ini selari dengan Pelan Strategik Lima Tahun CGC 2021-2025, dan memenuhi objektif kami untuk terus menjadi rakan kongsi PMKS di setiap peringkat kehidupan dengan menyediakan penawaran kewangan E2E dan menjadi sebuah organisasi celik digital bagi melebar skala dan meningkatkan impak PMKS," katanya. - DagangNews.com