Gagal sediakan penginapan pekerja, denda RM200,000 | DagangNews Skip to main content

Gagal sediakan penginapan pekerja, denda RM200,000

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Feb. - Pemilik penginapan yang gagal mematuhi arahan menyediakan kemudahan penginapan untuk pekerja akan didenda RM200,000 atau penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya.

 

Ini adalah susulan tindakan Kementerian Sumber Manusia (KSM) yang mengambil beberapa inisiatif berhubung pematuhan penginapan pekerja di seluruh negara bagi mengawal penularan wabak COVID-19.

 

Menterinya, Datuk Seri M.Saravanan berkata, antaranya inisiatif itu termasuklah penggubalan Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 yang telah diwartakan pada 17 Februari 2021.

 

Jelasnya, Ordinan Darurat ini mengandungi objektif antaranya termasuklah memperluas pemakaian Akta 446 kepada Sabah dan Sarawak. 

 

"Ia turut memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Tenaga Kerja Sumber Manusia (JTKSM) untuk mengeluarkan arahan kepada pemilik penginapan untuk mengganti, mengubah atau membaik penginapan yang tidak mematuhi Akta 446. 

 

"Dalam masa, ia juga untuk memindahkan pekerja dengan serta-merta dari penginapan yang sesak dan tidak sesuai didiami manusia ke penginapan sementara yang ditetapkan oleh JTKSM," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Di bawah penggubalan ini juga, ia memberi kuasa kepada Menteri Sumber Manusia untuk membuat penurunan kuasa Akta 446 kepada pegawai daripada agensi lain.

 

Dalam hal ini, beliau berkata, pemilik penginapan akan menanggung semua kos pengangkutan dari penginapan asal ke penginapan sementara, pengangkutan pergi balik ke tempat kerja dan penginapan sementara dan kos sewaan penginapan sementara. 

 

Inisiatif kedua pula melibatkan penggubalan 2 peraturan baharu di bawah Akta 446 iaitu Peraturan-peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja (Pekerja Yang Dikehendaki Disediakan
Penginapan) 2021. 

 

"Peraturan ini mewajibkan majikan untuk menyediakan penginapan bagi semua pekerja asing yang digajikan, kecuali pembantu rumah.

 

"Sementara itu, Peraturan-peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja (Pengkompaunan Kesalahan) 2021 membolehkan semua kesalahan di bawah Akta 446 dikompaun," katanya. 

 

Beliau memberitahu kementerian telah membentuk National Task Force Pematuhan Penginapan Pekerja yang dianggotai oleh 10 kementerian serta agensi lain berdasarkan keperluan.

 

Kekuatan anggota penguatkuasaan turut diperkasakan melalui pegawai daripada Jabatan dan Agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia seperti Jabatan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Perhubungan
Perusahaan (JPP), Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

 

Dalam pada itu, menurutnya, kerajaan juga telah memutuskan untuk menanggung sepenuhnya kos imunisasi vaksin COVID-19 kepada bukan warganegara termasuk pekerja asing yang memegang pas lawatan kerja sementara. 

 

Katanya, ini penting bagi memastikan risiko penularan COVID-19 dalam kalangan pekerja asing adalah terkawal memandangkan kluster pekerja asing adalah antara penyumbang terbesar yang perlu dibendung bagi memutuskan penularan pandemik ini.

 

"Mana-mana majikan yang gagal memastikan pekerja asing atau pekerjanya yang tinggal di penginapan yang disediakan oleh majikan menjalani vaksinasi COVID-19 adalah melakukan kesalahan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446]," tegas beliau. - DagangNews.com