Gamuda diunjur catat hasil lebih baik pada 4QFY24 dipacu segmen hartanah di luar negara | DagangNews Skip to main content

Gamuda diunjur catat hasil lebih baik pada 4QFY24 dipacu segmen hartanah di luar negara

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Jun - RHB Investment mengunjurkan Gamuda Bhd mencatatkan hasil lebih baik pada 4QFY24 dipacu oleh segmen hartanah terutamanya projek di luar negara serta kemajuan pembinaan bagi projek sedia ada.

 

Katanya, pendapatan dalam segmen itu dijangka menjadi lebih kukuh khususnya daripada projek West Hampstead di London.

 

Firma penyelidikan itu berkata, selain itu, jualan belum dibilkan bahagian hartanah berjumlah RM6.7 bilion pada akhir 9MFY24 berbanding RM5.7 bilion pada akhir 9MFY23.

 

"Buku pesanan pembinaan Gamuda berjumlah RM24 bilion pada akhir April 2024.

 

"Dengan kadar penggunaan setengah tahun sebanyak RM5 bilion bagi kerja-kerja pembinaan, digabungkan dengan kemenangan pekerjaan yang akan datang, kumpulan itu mungkin mencapai tahap buku pesanan baharu melebihi RM30 bilion menjelang akhir 2024.

 

"Kumpulan itu berpotensi meraih kontrak LRT Pulau Pinang (dianggarkan pada RM5 bilion bagi 60% bahagian Gamuda dalam Konsortium SRS), projek Empangan Hidroelektrik Ulu Padas merangkumi skim bekalan air (dijangka sekitar RM3 bilion) dan Pakej terowong Suburban Rail Loop East (Glen Waverley-Boxhill) dianggarkan antara RM3.75 bilion dan RM4.69 bilion," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Gamuda raih untung bersih RM235.79 juta pada 3QFY24, dividen tahunan naik kepada 16 sen

 

RHB Investment juga menjangkakan keseluruhan margin pembinaan akan meningkat secara beransur-ansur hasil sumbangan yang lebih baik daripada kontrak tempatan dengan margin yang lebih tinggi, contohnya perkhidmatan LRT Pulau Pinang Laluan Mutiara dan pusat data.

 

Selain itu, katanya, indeks harga pembinaan yang lebih baik di Australia boleh mengehadkan kenaikan harga bahan binaan yang tidak dijangka bagi tender berterusan dan pesanan variasi akan datang untuk projek Pakej Terowong Barat Metro Sydney.

 

"Margin untung bersih segmen itu kekal pada tahap rendah 5.1% pada 9MFY24 kerana projek luar negara merangkumi 86% daripada hasil pembinaan.

 

"Bagaimanapun, margin untung bersih bagi pekerjaan di luar negara tersebut meningkat sehingga 3.6% pada 9MFY24," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM7.69 sesaham.  - DagangNews.com