Generasi Z lebih cenderung untuk memiliki rumah - Juwai IQI | DagangNews Skip to main content

Generasi Z lebih cenderung untuk memiliki rumah - Juwai IQI

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Golongan muda Generasi Z (Gen Z), yang lahir antara tahun 1995 hingga 2005 di Malaysia sedang beralih daripada menyewa kepada membeli rumah sendiri, menurut data yang dikeluarkan Juwai IQI. 

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, menurut laporan 2019 yang menunjukkan Gen Z, pada ketika itu berumur 24 tahun hanya menyumbang 3% dalam pasaran kerana mereka lebih cenderung untuk menyewa. 

 

 

Walau bagaimanapun pada suku kedua 2022, pembeli rumah dari golongan Gen Z telah meningkat sebanyak 9 mata, daripada 17% kepada 26% dalam pasaran itu.

 

Walaupun laporan tu menunjukkan peningkatan, beliau berkata, Gen Z masih jauh perjalanannya berbanding generasi pendahulunya iaitu Generasi Y yang menyumbang sebanyak 50% dalam pasaran pembelian rumah.

 

aaa
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari 

 

 

Ansari berkata, fenomena peralihan itu adalah semula jadi apabila melihat trend Generasi Y dan X. 

 

“Setakat ini, Generasi Z telah mengikuti laluan seperti Generasi Y dan X yang bermula dengan penyewaan dan setelah mereka meningkat usia, mereka akan mula memiliki rumah,” ujar beliau.

 

Beliau juga menekankan Gen Z perlu meningkatkan bahagian mereka sehingga 60% dalam pasaran itu. 

 

Ini kerana pemilikan hartanah merupakan pelaburan yang lumayan sejak sedekad lalu di Malaysia.

 

“Gen Z yang membentuk satu per empat daripada penduduk Malaysia bakal memacu ekonomi Malaysia memandangkan usia mereka yang masih muda, mempunyai banyak tahun pendapatan utama di hadapan mereka, di mana mereka akan memulakan perniagaan dan membayar cukai.

 

"Ahli-ahli Generasi Z akan memperoleh sebanyak RM1.6 juta dalam kehidupan mereka dan secara keseluruhan mereka dijangka menyumbang kira-kira RM13.4 trilion kepada ekonomi negara dalam bentuk pendapatan peribadi, anggaran ini juga berdasarkan gaji formal median semasa mereka sebanyak RM2,645 sebulan dan kerjaya selama 50 tahun,” ulasnya. 

 

Walaupun ada peningkatan pemilikan rumah daripada golongan Gen Z, laporan itu berkata, generasi itu masih menghadapi cabaran untuk membeli rumah pertama mereka. 

 

Bagi memastikan mereka memiliki masa depan kewangan yang baik, Ansari turut menasihatkan Gen Z untuk mengikuti jejak langkah generasi yang lebih tua dalam membuat peralihan ke arah pemilikan rumah.- DagangNews.com