Genetec dijangka pelbagaikan perniagaan di Thailand menerusi jalinan kerjasama dengan APCS | DagangNews Skip to main content

Genetec dijangka pelbagaikan perniagaan di Thailand menerusi jalinan kerjasama dengan APCS

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Jan - Genetec Technology (Genetec) dijangka mempelbagaikan perniagaan di Thailand selepas kejayaan menjalinkan kerjasama dengan Asia Precision Public Company Limited (APCS) yang berpangkalan di negara itu. 

 

Penganalisis CGS-CIMB, Mohd. Shanaz Noor Azam berkata, jalinan kerjasama itu akan membuka peluang mereka meluaskan capaian dalam sektor sistem penyimpanan tenaga dan ia merupakan sebahagian daripada perancangan mempelbagaikan capaian pelanggan kumpulan.

 

Genetec juga berpeluang untuk terlibat dengan pembangunan kenderaan elektrik (EV) di Thailand selepas negara itu berhasrat menjadi hab pengeluaran EV di rantau Asia Tenggara.

 

Kerajaan Thailand juga sudah mewujudkan Jawatankuasa Polisi Kenderaan Elektrik Kebangsaan (NEVPC) pada 2020 sebagai usaha mempercepatkan pelan hala tuju EV negara itu.

 

"NEVPC baru-baru ini melancarkan pelan hala tujunya yang menyediakan rangka kerja bagi pembangunan EV di Thailand bermula 2021 hingga 2035 dengan sasaran untuk mengubah rantaian bekalan automotif negara itu daripada enjin pembakaran dalam kepada kenderaan sifar pelepasan karbon.

 

"NEVPC dijangka menghasilkan lebih 1 juta EV pada 2025 dan 18 juga EV pada 2035. Perkembangan itu merupakan peluang terbaik Genetec untuk membekalkan penyelesaian automasi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.   

 

Semalam, Genetec menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama APCS bagi menjalankan kajian untuk membangunkan kemudahan kilang berautomasi bagi sistem penyimpanan tenaga (ESS) di Thailand.

 

Firma penyelidikan itu, meramalkan penarafan syarikat kekal kukuh dan saham tidak berubah pada harga RM4.15.

 

"Kami melihat melihat pertambahan dari segi tempahan yang lebih tinggi daripada jangkaan, peningkatan dalam pegangan dana institusi, pertambahan pelanggan dan potensi minat terhadap Genetec dalam pengurusan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG)," katanya. - DagangNews.com