Gentari tingkatkan usaha pacu peralihan tenaga menerusi penyelesaian lebih bersih | DagangNews Skip to main content

Gentari tingkatkan usaha pacu peralihan tenaga menerusi penyelesaian lebih bersih

KUALA LUMPUR 16 Sept – Pembekal penyelesaian tenaga bersih, Gentari Sdn Bhd (Gentari), dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob, bersempena pengenalan jenamanya pada Jun lalu.

 

Entiti milik penuh Petronas ini berhasrat menjadi pembekal tenaga bersih bersepadu dan sehenti, dengan menawarkan rangkaian penyelesaian tenaga boleh diperbaharui, hidrogen dan mobiliti hijau untuk pelanggan komersial, perindustrian dan runcit.

 

Menjelang pelancaran rasmi ini, Gentari telah pun memulakan beberapa inisiatif dan usaha sama dalam misinya untuk tersenarai dalam kalangan syarikat tenaga bersih terkemuka dunia.

 

Bagi mewujudkan kelainan berbanding pesaing lain, Gentari berhasrat untuk memenuhi pelbagai aspek keperluan pelanggan melalui penyediaan satu portfolio penyelesaian berasaskan model bersepadu yang merentas rantaian nilai elektron, dan sekaligus mempermudah usaha ke arah sifar bersih.

 

Meskipun menerima sokongan Petronas pada fasa awal, Gentari akan diuruskan sebagai sebuah entiti bebas, sambil mengejar peluang pendanaan bagi mempercepat pertumbuhannya demi memenuhi permintaan sedia ada serta meneroka teknologi-teknologi tenaga baharu memuncul.

 

 

PM
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan entiti milik penuh Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Gentari Sdn Bhd di Kuala Lumpur pada 15 September 2022.

 

 

Pengerusi Gentari, Datuk Tengku Muhammad Taufik berkata, sejak diperkenalkan pada awal tahun ini, Gentari telah mencapai perkembangan yang menggalakkan dalam usaha membekalkan tenaga karbon rendah dan membantu pelanggan di dalam dan luar Malaysia untuk mengurangkan pelepasan karbon.

 

Katanya, perkembangan tersebut terhasil menerusi penyediaan penyelesaian dan sistem yang mudah diakses pada kadar berpatutan, yang dijana hasil pengeluaran dan infrastruktur berskala.

 

“Seiring dengan langkah merealisasikan aspirasi Gentari, kami berhasrat untuk menyumbang secara signifikan ke arah matlamat tenaga boleh diperbaharui negara dengan membantu pelanggan tempatan beralih kepada sumber tenaga lebih bersih,” katanya.

 

Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) menyasarkan supaya 31% daripada jumlah kapasiti tenaga terpasang negara adalah daripada tenaga boleh diperbaharui menjelang tahun 2025, manakala Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu Malaysia menyasarkan pencapaian 40% tenaga boleh diperbaharui menjelang 2035.

 

Penyelesaian tenaga boleh diperbaharui, hidrogen dan mobiliti hijau yang ditawarkan Gentari akan merangkumi projek-projek tempatan, serantau dan antarabangsa untuk memenuhi permintaan pelanggan dan peluang yang terdapat di pasaran.

 

 

Gentari

 

 

Dalam teras Tenaga Boleh Diperbaharui, Gentari akan membina kapasiti tenaga keseluruhan sebanyak 30-40 GW di pasaran utama menjelang 2030 menerusi projek-projek berskala utiliti merentasi tenaga solar, angin dalam dan luar pesisir pantai serta penyimpanan bateri untuk pelanggan komersial, perindustrian dan runcit.

 

Setakat ini, Gentari telah mencapai kapasiti tenaga boleh diperbaharui sebanyak 1.1 GWp dalam operasi dan pembangunan di peringkat global.

 

Gentari juga memainkan peranan kritikal dalam usaha penyahkarbonan oleh Petronas, termasuk melalui pemasangan panel solar bumbung tunggal terbesar di Malaysia (7.4 MWp) baru-baru ini di Universiti Teknologi Petronas serta pemasangan panel solar di 60 stesen minyak PETRONAS yang kini sedang giat dilaksanakan.

 

 

Gentari

 

 

Untuk teras Hidrogen, Gentari menawarkan penyelesaian hidrogen rendah karbon yang kos berdaya saing menerusi rangkaian bekalan global yang komprehensif untuk memenuhi permintaan eksport dan tempatan.

 

Aspirasi Gentari adalah untuk menjana sehingga 1.2 mtpa hidrogen bersih menjelang tahun 2030.

 

Teras ini akan menumpukan pelanggan perindustrian, tenaga dan pengangkutan, khususnya perniagaan-perniagaan yang awal menerima guna hidrogen.

 

Setakat ini, Gentari telah menandatangani 12 Memorandum Persefahaman dengan rakan niaga antarabangsa bagi projek pembangunan di Malaysia, India dan Timur Tengah serta pelanggan di Asia Timur, yang meliputi inisiatif untuk meneroka pembangunan projek-projek hidrogen hijau dan pengangkutannya, sokongan dasar dan kawal selia terhadap industri hidrogen, serta kajian rantaian bekalan ammonia rendah karbon dan lain-lain.

 

 

Gentari

 

 

Bagi teras Mobiliti Hijau, Gentari berhasrat untuk menyokong ekosistem kenderaan elektrik (EV) dengan menguasai 10% jumlah pasaran.

 

Untuk mencapai sasaran itu, Gentari perlu menyediakan anggaran 25,000 kemudahan pengecasan awam di pasaran-pasaran utama Asia Pasifik menjelang tahun 2030.

 

Manakala bagi sasaran pertengahan menjelang tahun 2026, sekitar 9,000 kemudahan pengecasan awam disediakan terutamanya di Malaysia dan India.

 

Gentari juga menawarkan penyelesaian Kenderaan-sebagai-Perkhidmatan (VaaS), bermula dengan kenderaan elektrik ringan, serta perkhidmatan tambah nilai seperti platform digital, analisis data dan pengiklanan.

 

Pada masa ini, Gentari telah memasang lebih 190 kemudahan pengecasan dan menyampaikan lebih 250 kenderaan elektrik dua dan tiga roda di India dan Malaysia.


 

Gentari

 


Menerusi penawaran VaaS di India, Gentari telah mencapai 1,000,000 kilometer bersih, iaitu bersamaan dengan pengurangan pelepasan CO2 sebanyak 83.4 tan.

 

Dalam menyokong usaha penyahkarbonan kumpulan Petronas berasaskan pendekatan bersepadu, Gentari baru-baru ini menandatangani satu memorandum persefahaman dengan Petronas Refinery and Petrochemical Corporation Sdn Bhd untuk bekerjasama memperkenalkan barisan kenderaan pelepasan sifar yang disokong oleh kemudahan pengecasan EV, dan meneroka potensi kenderaan sel tenaga hidrogen di Kompleks Bersepadu Pengerang, salah satu fasiliti petrokimia bersepadu terbesar di rantau ini.

 

Setakat ini, pemasangan panel solar bumbung 4 MWp telah disempurnakan manakala kerja-kerja pemasangan panel solar atas tanah sebesar 40 MWp di Pengerang sedang dijalankan. – DagangNews.com