Genting Plantations beli tanah di Indonesia berharga RM593 juta untuk pembangunan hartanah | DagangNews Skip to main content

Genting Plantations beli tanah di Indonesia berharga RM593 juta untuk pembangunan hartanah

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 22 Julai - Genting Plantations Bhd, yang 55.4% kepentingannya dimiliki Genting Bhd, membeli dua bidang tanah di Indonesia pada harga RM593 juta, untuk pembangunan hartanah.

 

Tanah seluas 152 hektar itu terletak di Kota Sentul, Kabupaten Bogor, Provinsi Jawa Barat di Jakarta, menurut makluman Genting Plantation di Bursa Malaysia pada Jumaat.

 

Kumpulan perladangan itu berkata anak syarikat tidak langsungnya telah menandatangani perjanjian jual beli (SPA) berasingan dengan tiga vendor — PT Sentul City Tbk, PT Aftanesia Raya dan PT Primatama Cahaya Sentosa — untuk membeli tanah berkenaan.

 

Ia membeli plot tanah pertama, yang berkeluasan 80ha pada 1.76 bilion rupiah atau RM509.8 juta. Yang kedua, seluas 72ha, dibeli dengan harga 288 bilion rupiah atau RM83.2 juta.

 

Syarikat itu merancang untuk membiayai pemerolehan menggunakan dana dalaman dan pinjaman bank.

 

Walaupun cadangan pengambilalihan akan menghasilkan penggearan yang lebih tinggi, syarikat itu berkata ia tidak menjangka ini akan memberi kesan kepada pendapatannya untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024 (FY2024).

 

Pada akhir Mac 2024, tunai dan baki bank GenP berjumlah RM944.41 juta, manakala jumlah pinjaman berjumlah RM2.16 bilion.

 

Kumpulan itu berkata cadangan pengambilalihan, yang dijadualkan siap pada suku pertama 2025, sejajar dengan objektifnya untuk mengembangkan kehadirannya di Indonesia.

 

"Penjualan pembangunan terbaharu di dalam dan berhampiran perbandaran Sentul City telah menyaksikan permintaan kukuh untuk hartanah kediaman bertanah dengan kebanyakannya menikmati kelebihan yang kukuh dalam bulan-bulan awal pelancaran masing-masing," katanya sambil menambah tanah yang dibelinya berpotensi memanfaatkan minat pembeli di perbandaran untuk inisiatif pembangunan hartanah masa hadapan.

 

Saham GenP ditutup tiga sen atau 0.51% lebih tinggi pada RM5.88 pada Jumaat, menilai kumpulan itu pada RM5.28 bilion. - DagangNews.com