KUALA TERENGGANU 21 Jan - GPQ Sdn. Bhd, anak syarikat Terengganu Inc memperoleh kontrak projek mega pembangunan Quran Village bernilai RM78.38 juta untuk membina masjid kariah dan pelbagai infrastruktur lain di kawasan seluas 2.83 hektar di Presint 14, Putrajaya.
Quran Village adalah projek yang dimiliki oleh Perbadanan Putrajaya yang bakal menjadi satu lagi tarikan baharu di pusat pentadbiran negara apabila siap kelak.
Ketua Pegawai Eksekutif GPQ, Noor Mohd Suhaimie Ismail berkata, pelaksanaan projek itu adalah salah satu inisiatif penting GPQ dalam memperkukuhkan kehadirannya di Lembah Klang.
"Ini juga langkah strategik syarikat dalam menembusi pasaran di luar negeri Terengganu.
"Selaras dengan visi untuk memperluaskan capaian perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi, projek ini mencetus hala tuju baru GPQ sebagai kontraktor berpotensi di Malaysia," katanya kepada pemberita hari ini.
Projek tersebut dijadualkan mengambil masa 36 bulan untuk pembangunan secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2027.
Ia bakal menjadi ikon baharu kebanggaan Putrajaya bagi mempromosikan perpaduan dan semangat komuniti setempat.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, projek itu adalah penanda aras komitmen anak syarikat kerajaaan negeri dalam menjana pendapatan baharu.
Menurutnya, ia selaras hasrat syarikat bagi mendukung perlaksanaan inisiatif ekonomi dan pelaburan strategik yang mampan untuk negeri Terengganu.
"Projek Pembangunan Quran Village Fasa 1 adalah merupakan kesinambungan daripada Pembangunan Nasyrul Quran iaitu pusat menyalin dan percetakan Al-Quran yang kedua terbesar di dunia dan memartabatkan budaya Islamik dan ilmu Al-Quran khususnya kepada pelancong dari luar negara," katanya.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1987, GPQ terlibat secara aktif di dalam industri pembinaan terutamanya dalam kerja-kerja kejuruteraan awam, projek pembinaan bangunan dan perumahan, pembinaan lebuh raya dan infrastruktur di seluruh Terengganu. - DagangNews.com