KUALA LUMPUR 21 Jan - Saliran Group Berhad memeterai perjanjian taja jamin dengan Malacca Securities Sdn Bhd bagi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
IPO Saliran melibatkan penerbitan 80.4 juta saham baharu, merangkumi 21% daripada modal saham terbitan syarikat yang diperbesarkan sebanyak 382.9 juta saham.
Selain itu, pembekal dan pengedar paip itu juga menawarkan penjualan sebanyak 38.3 juta saham, mewakili 10% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan.
"19.15 juta saham terbitan atau 5% daripada modal saham terbitan syarikat yang diperbesarkan, 2.5% akan diperuntukkan kepada pelabur awam dan separuh lagi dikhaskan untuk pelabur awam Bumiputera.
"Kami juga memperuntukkan 7.66 juta saham terbitan atau 2% daripada modal saham terbitan syarikat yang diperbesarkan kepada pengarah dan pekerja yang layak melalui peruntukan borang merah jambu.
"Sebanyak 47.86 juta Saham Terbitan atau 12.5% daripada modal saham terbitan Syarikat yang diperbesarkan dikhaskan untuk pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
"Lebih 5 juta saham terbitan atau 1.5% daripada modal saham terbitan syarikat yang diperbesarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Melalui perjanjian ini, Malacca Securities akan menanggung jamin 26.8 juta saham terbitan yang ditetapkan untuk orang awam Malaysia melalui pengundian awam dan peruntukan borang merah jambu.
Di samping itu, baki 53.60 juta saham akan diterbitkan kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh MITI, manakala 38.29 juta saham akan ditawarkan kepada pelabur terpilih.
Saliran merupakan penyedia kelengkapan paip serta produk keluli untuk menyokong aktiviti pemprosesan dan penapisan dalam industri minyak dan gas (O&G).
Pengarah Urusan Saliran, Liaw Choon Wei berkata, perjanjian taja jamin itu menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan Saliran menjadi syarikat tersenarai awam.
"Dengan reputasi kami untuk menyampaikan produk berkualiti tinggi dan pendekatan fokus pelanggan, IPO ini akan membantu memacu strategi pertumbuhan kami.
"IPO ini juga akan memperluaskan kehadiran kami di Indonesia dan meningkatkan kapasiti inventori adalah langkah utama dalam merebut peluang mengembangkan syarikat di pasaran baru muncul di Asia Tenggara,” katanya.
Pengarah Urusan Malacca Securities, Lim Chia Wei berkata, rangkaian bekalan perindustrian Saliran yang meluas, khususnya dalam minyak dan gas, meletakkan syarikat itu sebagai pesaing kuat di Pasaran ACE.
"Disokong oleh pasukan kepimpinan yang berkebolehan dan mengutamakan pelanggan serta penawaran produk yang pelbagai, kumpulan serba lengkap untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada pelanggan industri di rantau ini," katanya. - DagangNews.com