GIB Capital labur RM2 juta bangunkan pusat keselamatan siber di Malaysia, Kemboja | DagangNews Skip to main content

GIB Capital labur RM2 juta bangunkan pusat keselamatan siber di Malaysia, Kemboja

Michael Thompson
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Jun - Malaysia antara negara yang dipilih oleh GIB Capital Group dengan kerjasama dana amanah dari Digital Bank Exchange Asia untuk membangunkan pusat keselamatan siber di sini.

 

Organisasi berkenaan juga dijangka membangunkan satu lagi pusat serupa di Kemboja, dengan jumlah pelaburan keseluruhan di kedua-dua negara bernilai AS$500 atau sekitar RM2 juta, menurut GIB Capital.

 

“Pelaburan modal kami cukup besar tetapi bernilai tinggi. Ini kerana Malaysia dan Kemboja sedang mengalami peningkatan dalam ancaman dan serangan siber, di mana memerlukan kewujudan keselamatan siber yang lebih besar di lokasi-lokasi tersebut,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif GIB Capital, Michael Thompson.

 

Projek berkenaan telah dilancarkan di ibu pejabat Malaysia GIB Capital serta turut dihadiri ahli lembaga pengarah dari kedua-dua pihak tersebut.

 

Pusat keselamatan siber yang bakal dibangunkan di Malaysia dan Kemboja itu akan dilengkapi dengan makmal rangkaian di mana pakar-pakar dapat memantau seluruh sistem bagi sebarang ancaman.

 

Tambah kumpulan itu, pasukan keselamatan sibernya juga sedang bekerjasama dengan penasihat dalaman untuk menjamin keselamatan sistem permodalan amanah mereka.

 

Jelas Thompson, menerusi kemudahan baharu itu, mereka komited untuk menyampaikan penyelesaian keselamatan siber bertaraf tinggi bagi memenuhi keperluan dan permintaan klien.

 

“Dalam pada itu, kami juga melaksanakan algoritma lebih baik bagi perkhidmatan kami, supaya pelanggan dan klien tidak perlu bimbang mengenai privasi dan keselamatan, yang dilindungi setiap masa.

 

“Pertukaran yang dibuat dalam modal kami akan dilindungi dengan teknologi blok rantai yang baru diadaptasi, dibangunkan oleh ahli profesional kami untuk penyulitan yang canggih.

 

“Melangkah ke hadapan, kami berhasrat untuk membangunkan lebih banyak pusat keselamatan siber berdedikasi di lebih banyak negara,” kata beliau lanjut.

 

Bagi Pengarah Bersekutu Digital Bank Exchange Asia, Colson Baker, beliau yakin kerjasama itu akan melonjakkan lagi industri keselematan siber.

 

Sebagai rekod, GIB Capital group merupakan sebuah organisasi yang menawarkan perkhidmatan keselamatan siber buat klien dan pelanggan di seluruh rantau Asia. - DagangNews.com