Gloria Jean's Coffees akan buka 2 lagi kafe di Putrajaya tahun ini | DagangNews Skip to main content

Gloria Jean's Coffees akan buka 2 lagi kafe di Putrajaya tahun ini

 

PUTRAJAYA 19 April - Wonderful Lifestyle Sdn Bhd, pemilik lesen francais Gloria Jean's Coffees di Malaysia, Myanmar dan Brunei merancang membuka dua lagi kafe di Putrajaya dan beberapa lagi di bangunan yang menempatkan pejabat kerajaan, hospital dan pusat beli-belah di seluruh negara.

 

Syarikat itu telah membuka empat kafe di Putrajaya iaitu di Menara Ikhlas, Kementerian Kewangan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM). Terdahulu, syarikat itu merancang membuka 16 kafe baharu tahun ini di beberapa lokasi dalam negara.

 

Ketua Pegawai Eksekutif, Zafrul Azman Mohamed Azraai berkata setakat April, sebanyak empat buah cafe baharu daripada 16 cafe yang dirancang itu sudah dibuka iaitu di KKMM Putrajaya, JPM, Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru, Johor dan Bangunan SUK Selangor, Shah Alam.

 

"Kami mungkin akan ada dalam dua lokasi lagi di Putrajaya dan dijangkakan selepas sambutan Hari Raya Aidiltri, baki 12 kafe akan dibuka secara berperingkat," katanya kepada Bernama di sini.

 

Beliau berkata syarikat sentiasa mengalu-alukan usahawan yang berminat untuk bersama-sama mengusahakan Gloria Jean's Coffees ini dan pihaknya akan memilih lokasi yang bersesuaian untuk memulakan perniagaan ini.

 

"Keutamaan untuk membuka cawangan Gloria Jean's Coffees ini diberikan kepada usahawan yang berminat, dan selain membimbing cara yang betul untuk berniaga, usahawan ini juga boleh mendapat pembiayaan di bawah Perbadanan Nasional Bhd," katanya.

 

Sementara itu, sempena Ramadan ini, Gloria Jean's Coffees akan mengagihkan 18,000 cawan air kopi secara percuma di kesemua cawangan kafenya di seluruh Malaysia.

 

Gloria Jean’s Coffees merupakan syarikat kopi global milik Australia yang telah membuka 890 cawangan di lebih 43 negara dan setakat hari ini,  45 cawangan Gloria Jean's Coffees telah beroperasi di Malaysia. - DagangNews.com