KUALA LUMPUR 23 Feb - Pengeluar bas dan badan bas yang berpangkalan di Johor, Gemilang International Limited (GML) memperoleh tempahan bagi membekalkan 190 kit badan bas ke Uzbekistan dan ia hadir selepas mereka berjaya memenuhi tempahan untuk menghantar bas sekolah elektrik ke California, Amerika Syarikat (AS).
GML berkata, kontrak terbaharu dari Uzbekistan bakal meletakkan mereka pada kedudukan lebih kukuh bagi pasaran Asia Tengah dan akan membantu kumpulan untuk meneroka negara seperti Belarus dan Kazakhstan.
"Kontrak untuk menghantar 190 kit badan bas secara pemasangan tempatan (CKD) ini diperoleh bulan ini dan dijangka siap pada Oktober 2022.
"Sejak 2015, GML menghantar lebih daripada 160 kit badan bas ke Uzbekistan, menjadikan negara itu pasaran pertumbuhan penting bagi Kumpulan Gemilang.
"Kami menjangkakan kontrak ini akan menjadi penyumbang kepada hasil utama pada 2022," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kumpulan Gemilang optimis untuk terus mendapat manfaat daripada pembangunan infrastruktur di Uzbekistan melalui rekod prestasinya yang terbukti sebagai salah satu pengeluar bas dan badan bas terkemuka di Asia.
"Faktor utama pemerolehan ini ialah keistimewaan kit badan aluminium rekaan GML yang menggunakan teknologi dari Switzerland.
"Bahan yang digunakan untuk struktur badan bas keluaran Gemilang terdiri daripada aloi aluminium siri 5000 hingga 6000 berketahanan tinggi (setanding dengan piawaian untuk kenderaan pengangkutan udara dan kereta api)," katanya.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif GML, Pang Chong Yong berkata, Uzbekistan adalah antara enam pasaran tumpuannya tahun ini, selain AS, Australia, Singapura, Malaysia dan Hong Kong.
"Kontrak terbaharu ini adalah pesanan berulang dari Uzbekistan dan menjadi batu loncatan untuk kami berkembang dengan lebih jauh di rantau ini. Kami berbesar hati kerana pesanan berulang dengan kuantiti yang lebih besar ini secara tersirat menunjukkan kepercayaan negara luar terhadap kepakaran dan kualiti produk Malaysia.
"Kami merancang untuk terus menghasilkan produk berkualiti secara konsisten, dan seterusnya membina kehadiran yang kukuh dan berdaya saing di dalam pasaran," katanya. - DagangNews.com