Grab tawar diskaun untuk warga emas pergi balik pusat vaksinasi | DagangNews Skip to main content

Grab tawar diskaun untuk warga emas pergi balik pusat vaksinasi

 

PETALING JAYA 31 Mei Grab Malaysia mengumumkan usahanya untuk membantu warga emas pergi dan balik dari Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) di seluruh negara.

 

Warganegara yang berusia 60 tahun ke atas yang juga pengguna Grab boleh menikmati promosi untuk semua perkhidmatan kenderaan Grab yang menawarkan potongan sehingga RM8 untuk 4 perjalanan ke mana-mana pusat vaksinasi dengan mudah apabila menggunakan aplikasi Grab mulai 12 Jun.

 

Program ini diperkenalkan susulan laporan yang menyatakan bahawa masalah pengangkutan menjadi punca utama warga emas tidak menghadiri janji temu vaksinasi mereka dan merupakan inisiatif yang terkini Grab bagi menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dianjurkan oleh kerajaan.

 

Promosi tersebut akan merangkumi perjalanan untuk janji temu pengambilan kedua-dua dos vaksin yang diperlukan.

 

“Di Grab, kami sentiasa percaya dalam usaha menangani keperluan paling kritikal rakyat Malaysia menerusi perkhidmatan kami, terutama sekali dalam tempoh sukar ini.

 

"Dengan lebih rakyat Malaysia divaksinasi dengan segera, kita dapat mencapai matlamat imuniti kelompok, serta lebih cepat masyarakat kita boleh menjalani proses pemulihan dan pada masa sama membantu membina semula ekonomi kita. Oleh itu, kami berharap menerusi perkongsian teknologi, rangkaian dan capaian kami ini, kami dapat menyumbang kepada usaha vaksinasi kebangsaan oleh kerajaan,” kata Sean Goh, Pengarah Urusan Grab Malaysia.

 

Grab akan bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) dan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi memastikan semua lokasi di pusat-pusat vaksinasi berkenaan ada di dalam aplikasi Grab.

 

Tambah Goh lagi, “Untuk warga emas yang tidak mempunyai kenderaan atau pengangkutan sendiri, Grab telah menyediakan lokasi drop-off yang jelas di semua pusat-pusat vaksinasi di seluruh negara.

 

"Promosi ini akan dihantar terus ke dalam peti mel pengguna yang layak dan berdaftar, di mana selepas itu para pengguna boleh menempah perjalanan dengan mudah melalui aplikasi Grab. Apabila mereka mencari pusat yang ditetapkan, lokasi pusat-pusat vaksinasi berkenaan akan dipaparkan,” ujarnya.

 

Akses mudah untuk warga emas

Program vaksinasi untuk warga emas oleh Grab ini dibangunkan bagi memudahkan akses perjalanan menerusi aplikasi Grab. Bagi mereka yang telah menerima janji temu vaksinasi COVID-19, mereka boleh menempah perkhidmatan Grab dengan hanya beberapa langkah mudah:

 

  1. Daftar untuk akaun Grab dan mengesahkan umur anda di GrabPay yang disahkan by 7 Jun 2021  (pengguna perlu melengkapkan pendaftaran KYC mereka);
  2. Pada hari janji temu berkenaan, tempah perkhidmatan kenderaan Grab (terbuka untuk semua jenis perkhidmatan kenderaan Grab) dengan memasukkan lokasi pusat vaksinasi;
  3. Salin dan tampal kod promosi  dari peti emel anda ke dalam tab “tawaran”;
  4. Promosi  ini boleh digunakan untuk semua kaedah pembayaran di Grab;
  5. Selepas selesai vaksinasi mereka, para pengguna kemudiannya boleh menempah perkhidmatan kenderaan Grab dari pusat vaksinasi berkenaan ke rumah masing-masing.

 

Menurut Grab, warga emas perlu mendaftar akaun Grab dan mengesahkan umur mereka di GrabPay sebelum 7 Jun 2021 untuk menerima kod promosi tersebut (yang akan dihantar di peti emel Grab mereka pada 12 Jun). - DagangNews.com