Guna SOSMA, AMLA terhadap ketua sindiket penyeludupan rokok | DagangNews Skip to main content

Guna SOSMA, AMLA terhadap ketua sindiket penyeludupan rokok

ROKOK seludup dianggar bernilai RM1.7 juta dibongkar dalam serbuan di sebuah gudang, di Shah Alam, menunjukkan wujud elemen jenayah yang terancang. 

 

KUALA LUMPUR 14 Julai – Keadaan kini lebih kritikal berbanding sebelum ini yang mewajarkan untuk mengklasifikasikan penyeludupan rokok sebagai jenayah terancang yang termasuk di bawah Kesalahan-Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas) Akta 2012 (SOSMA) dan mengguna pakai Akta Penggubahan Wang Haram 2001 (AMLA) bagi mendakwa para pesalah.

 

Saranan ini dikemukakan oleh bekas Ketua Polis Negeri Sarawak, Datuk Dr Yusoff Nook, dalam satu kenyataan hari ini, sebagai mengulas beberapa siri pendedahan di media dan pengesahan agensi penguatkuasaan mengenai ketua-ketua kumpulan penyeludupan rokok yang telah mengakibatkan Malaysia kerugian RM5 bilion dari segi hasil cukai yang tidak dapat dikutip setiap tahun.

 

Dr Yusoff berkata, selepas laporan berita mengenai penyeludup menukar operasi mereka ke kawasan pesisir pantai yang luas dan tidak dikawal, adalah bagus untuk mengetahui agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja mengumumkan kejayaan merampas rokok seludup dalam bilangan besar-besaran.

 

"Walaubagaimanapun, sementara jutaan batang rokok dilaporkan telah dirampas di dalam setiap operasi, ia masih terlalu kecil untuk menyaksikan perubahan. Setiap tahun, lebih daripada 12 juta batang rokok seludup dibawa masuk ke negara kita dan ia menguasai lebih daripada separuh bahagian pasaran rokok yang dijual di Malaysia,” kata beliau.

 

Menurut beliau, menariknya, agensi penguatkuasaan undang-undang juga maklum mengenai kewujudan ketua kumpulan penyeludupan rokok, malah memanggil mereka dengan nama seperti Ben dan Jimmy, serta mendedahkan carta organisasi jenayah dan modus operandi mereka.

 

"Bagaimanapun, mengapa ketua-ketua samseng dan kumpulan mereka masih dibenarkan wujud dan beroperasi? Jelas maklumat perisikan yang dikumpul bertahun-tahun selama ini, sudah cukup untuk menumbangkan mereka, bukan?,” soal beliau.

 

"Ketika pandemik COVID ini memusnahkan ekonomi kita dan ‘bendera putih’ telah muncul di seluruh masyarakat kita, Malaysia tidak ada ruang untuk ketua-ketua penyeludupan rokok. Mereka bukan sahaja menyebabkan negara ini kehilangan dana bernilai yang boleh membantu pemulihan, tetapi mereka juga memporak-porandakan fabrik masyarakat kita dengan elemen jenayah dan amalan rasuah," kata  Dr Yusoff.

 

Yusuf Nook
Datuk Dr Yusoff Nook

 

Beliau menambah, "Masanya telah tiba undang-undang sedia ada termasuk SOSMA dan AMLA boleh digunakan bagi memperkasa agensi penguatkuasaan untuk mengambil tindakan pantas dan muktamad terhadap ancaman kepada keselamatan negara ini.

 

Penggubal undang-undang wajar mengenepikan perbezaan politik mereka dan mengambil kesempatan daripada sidang Parlimen khas tidak lama lagi untuk menyokong penggunaan SOSMA, AMLA dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) bagi menghapuskan ketua-ketua kumpulan jenayah ini.”

 

Menteri-menteri dan Kementerian berkaitan juga harus berusaha lebih lagi untuk melindungi hero-hero kita di dalam agensi penguatkuasaan undang-undang yang berdepan dengan tekanan daripada pihak berkepentingan peribadi disebabkan mereka bekerja keras untuk menghentikan masalah endemik penyeludupan rokok di Malaysia ini.”

 

"Paling mustahak, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan yang juga menteri penyelaras menerajui Pelan Pemulihan Nasional, hendaklah memastikan Pasukan Petugas Pelbagai Agensi berkesan sepenuhnya dan diberikan sokongan sewajarnya untuk mereka melaksanakan tugas.

 

Selain itu, inisiatif anti penyeludupan rokok yang Tengku Zafrul perkenalkan pada Belanjawan 2021 dikuatkuasakan dengan ketat dan pada masa sama, memberikan dana yang diperlukan bagi mengetatkan penguatkuasaan di perairan negara kita.”

 

"Lagi pun sebarang pertumbuhan ekonomi akan jadi sia-sia disebabkan ketirisan besar di mana ketua-ketua penyeludup mengaut untung besar,” kata Dr Yusoff.  - DagangNews.com