Hanya DNB bangunkan rangkaian utama 5G sengitkan lagi persaingan telco - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

Hanya DNB bangunkan rangkaian utama 5G sengitkan lagi persaingan telco - CGS CIMB

TANPA 5GC mereka sendiri, keupayaan 4 telco utama di dalam negara akan terhad. - Gambar hiasan oleh Frederik Lipfert
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Persaingan antara syarikat telekomunikasi (telco) di Malaysia dijangka bertambah sengit apabila hanya syarikat tujuan khas, Digital Nasional Berhad (DNB) yang dibenarkan untuk membangunkan infrastruktur dan rangkaian utama 5G (5GC). 

 

Firma penyelidikan, CGS-CIMB Research tidak menolak kemungkinan bahawa langkah itu akan mengehadkan keupayaan empat telco utama atau Big 4 di dalam negara untuk membezakan produk dan perkhidmatan mereka selain menawarkan pengalaman lancar antara rangkaian 5G DNB dan 4G mereka kepada pengguna. 

 

“Bagi perkhidmatan borong 5G DNB, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mencadangkan akses mandiri (SA) jenis pengendali rangkaian maya mudah alih (MNVO) dan bukan mandiri (NSA) dengan rangkaian akses radio 5G (RAN) DNB diintegrasikan ke dalam rangkaian utama 4G telco.

 

“MCMC tidak setuju dengan model 5G RAN DNB disepadukan dengan 5GC pengendali rangkaian mudah alih (MNO); buat masa ini, kami tidak pasti sekiranya MCMC mencadangkan untuk tidak membenarkan akses sedemikian, atau ia sebaliknya tidak akan dikawal selia. 

 

“Tanpa 5GC mereka sendiri, keupayaan MNO Big 4 akan terhad untuk membezakan produk dan perkhidmatan mereka dan untuk menawarkan pengalaman lancar antara rangkaian 5G DNB dan 4G mereka kepada pengguna,” jelas firma itu dalam satu nota kajian.

 

Dalam jangka masa panjang, keadaan itu akan mendorong kepada persaingan yang lebih sengit apabila liputan 5G mula meluas. 

 

MCMC juga dilaporkan berkata, akses 5G perlu dibuka kepada mana-mana jenis pemegang lesen dan tidak terhad kepada MNO sahaja.

 

MCMC baru-baru ini menerbitkan kertas pertanyaan awam (PI) dan semakan Senarai Akses.

 

Dalam PI itu, MCMC menekankan bahawa DNB akan menggalas tugas untuk membangunkan infrastruktur dan rangkaian 5G di seluruh negara, di mana melibatkan kedua-dua pelancaran 5G RAN dan 5GC dengan MNO bebas untuk mendapatkan perkhidmatan MNVO di bawah seni bina SA itu.

 

Menurut agensi itu, sekiranya MNO dibenarkan untuk menjual 5GC mereka sendiri bagi disepadukan dengan 5G RAN milik DNB akan mendorong kepada duplikasi atau penggandaan infrastruktur rangkaian itu.

 

Bagi MCMC, ini juga akan mengancam insentif pelaburan DNB, memandangkan MNO sedia ada mempunyai keupayaan untuk melancarkan rangkaian 5GC lebih pantas daripada DNB, ekoran syarikat tujuan khusus itu mempunyai insentif yang lebih rendah untuk membina rangkaian 5GC di kawasan yang tersedia dengan infrastruktur MNO.

 

“DNB berhasrat untuk mencapai kira-kira 36% liputan populasi dalam tempoh dua tahun pertama (Fasa 1A : Kuala Lumpur, Putrajaya, Cyberjaya; Fasa 1B: Johor, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Selangor); kira-kira 77% liputan pada tahun keempat dan 90% liputan pada tahun ketujuh, serta seterusnya. 

 

“MCMC menekankan dalam kertas PI itu bahawa hanya DNB dapat menggunakan spektrum bagi perkhidmatan 5G. Spektrum sedia ada yang telah diperuntukkan kepada MNO tidak boleh digunakan untuk perkhidmatan 5G, sama ada untuk agregasi pembawa, pengimbangan beban trafik dan sebagainya,” ujar CGS-CIMB lanjut. - DagangNews.com