Harga barang naik, kerajaan tak akan biarkan rakyat 'ikat perut' - tegas PM | DagangNews Skip to main content

Harga barang naik, kerajaan tak akan biarkan rakyat 'ikat perut' - tegas PM

Jelajah AKM peringkat negeri Perak membuka tirai sejak Jumaat lalu dan berakhir petang ini. - Gambar : DAGANGNEWS
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

PASIR SALAK 3 Julai - Kerajaan tidak akan membiarkan rakyat ‘ikat perut’ dalam isu kenaikan harga barang, sebaliknya akan mencari jalan bagi menyelesaikannya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

“Kerajaan dahulu… rakyat kena ikat perut, tapi (kerajaan sekarang) kita cari kaedah agar rakyat tidak dibebani. Tidak pernah dalam sejarah kita bagi subsidi agar harga tidak naik.

 

“Kita subsidikan harga sebanyak RM77.7 bilion iaitu ayam, bahan api, elektrik, telur, minyak masak dan air. 

 

"Kita ambil tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang untuk memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan,” katanya seperti dilapor Bernama.

 

Beliau berkata demikian dalam ucapan penutupan Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Perak 2022 di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah hari ini.

 

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

 

Jelajah AKM peringkat negeri Perak membuka tirai sejak Jumaat dengan lebih 30,000 pengunjung dijangka menghadiri program yang dijadual berakhir pukul 6 petang hari ini.

 

Minggu lalu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz dilaporkan berkata, unjuran perbelanjaan subsidi kepenggunaan yang berjumlah RM77.3 bilion setakat ini bagi 2022 adalah jumlah subsidi tertinggi di dalam sejarah yang pernah ditanggung oleh mana-mana kerajaan.

 

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan hari ini adalah sebuah kerajaan yang akan memberikan bantuan sama ada dari segi material mahupun sokongan dalam menyuburkan semangat perpaduan, menyuntik nafas segar dalam kesatuan, mencari titik persamaan dalam kepelbagaian.

 

“Malah kerajaan hari ini akan terus konsisten memberikan tumpuan kepada program serta inisiatif yang melimpahkan kesejahteraan dan manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia. Ini dilakukan bagi memastikan tidak ada yang ketinggalan,” jelasnya.

 

Beliau turut membidas segelintir pihak yang menuduh kononnya kerajaan berpeluk tubuh dan tidak mengambil tindakan berkaitan isu peningkatan kos sara hidup.

 

“Kerajaan sedar banyak harga barangan meningkat. Saya sendiri membuat tinjauan rambang ke premis-premis perniagaan, ke pasar raya dan sebagainya untuk melihat sendiri dari segi fenomena kenaikan harga barang ini,” katanya. - DagangNews.com