KUALA LUMPUR 20 April - Hyundai-Sime Darby Motors mengumumkan harga Hyundai Kona yang didatangkan dalam dua varian iaitu Standard sebanyak RM119,888 manakala Kona Active RM136,888 yang dianggap kompetitif dalam segmennya di Malaysia.
Model yang disifatkan sebagai crossover kompak ini didatangkan dengan waranti lima tahun atau 300,000 km, serta pakej servis percuma untuk tiga tahun atau 50,000 km.
Kedua-dua varian ini mengekalkan enjin petrol Smartstream 2.0-liter empat silinder yang dipadankan dengan transmisi IVT bagi menghasilkan 149 PS dan 180 Nm. Tiada varian Turbo.
Selain rekaan luaran yang lebih segar, Kona facelift lebih panjang sebanyak 40 mm, sekaligus memberikannya penampilan yang lebih dinamik. Ini ditambah lagi dengan pilihan rim 17 dan 18 inci baharu.
Kona Standard boleh dipilih dalam empat warna iaitu Chalk White, Galactic Grey, Surfy Blue dan Pulse Red, sementara Kona Active pula Surfy Blue, Dive in Jeju, Ignite Flame, Dark Knight, dan Misty Jungle.
Ruang dalaman turut menyaksikan beberapa perubahan, terutamanya pada bahagian konsol tengah yang kini diasingkan daripada panel instrumen. Model ini juga mendapat pilihan warna dan material baharu, serta beberapa ciri kemudahan seperti brek parkir elektrik dengan fungsi Auto Hold dan fungsi untuk hidupkan enjin dari jarak jauh.
Bagi sistem infohibur, kedua-dua varian didatangkan dengan skrin AVN berukuran lapan inci dengan Apple CarPlay dan Androit Auto secara standard. Kona Active mendapat ciri tambahan eksklusif iaitu kluster instrumen digital berukuran 10.25 inci.
Varian tertinggi itu juga didatangkan dengan pelbagai ciri keselamatan dan bantuan pemandu seperti Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA), Rear Cross Traffic Collision-Avoidance Assist (RCCA) dan Safe Exit Warning (SEW).
Terdapat juga Lane Keeping Assist (LKA), Lane Following Assist (LFA), Driver Attention Warning (DAW) with Leading Vehicle Departure Alert, Rear Occupant Alert (ROA) dan High Beam Assist (HBA), Forward Collision-Avoidance Assist (FCA) telah dinaik taraf dengan fungsi pengesanan pejalan kaki dan kenderaan. - DagangNews.com