KUALA LUMPUR 27 Mac - CGS-CIMB menjangkakan harga makanan terus meningkat semasa Ramadan dan semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Firma itu berkata, unjuran peningkatan itu dibuat berdasarkan kepada lonjakan permintaan yang akan berlaku pada bulan berkenaan.
Pada Februari 2023, Indeks Harga Pengguna (CPI) meningkat 0.2% dari bulan ke bulan dan 3.7% tahun ke tahun, lebih tinggi daripada jangkaan firma itu dan Bloomberg.
Bagi makanan, makanan subkomponen di rumah adalah pemangkin utama, meningkat 5.8% didorong oleh subkumpulan daging (9%) dan nasi (6.6%).
Firma itu berkata, Jabatan Perangkaan (DOSM) menyatakan bahawa harga ayam meningkat sebanyak 8%.
"Bagaimanapun subkomponen makanan luar rumah menyederhana kerana pelancaran Menu Rahmah oleh kerajaan, yang merupakan inisiatif popular di seluruh negara untuk menggalakkan peniaga menjual makanan pada harga murah.
"Disebabkan ini, untuk mengehadkan potensi kenaikan harga, kerajaan baru-baru ini melancarkan Jualan Rahmah iaitu inisiatif di bawah Payung Rahmah, bermula dari 23 Mac hingga 22 April 2023 yang menawarkan diskaun 40% untuk lebih 150 barangan keperluan asas.
"Selain itu, kerajaan juga bercadang untuk mengumumkan skim kawalan harga tempoh cuti, sama seperti yang telah dilancarkan pada musim perayaan sebelum ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, CPI yang mengukur kadar inflasi di Malaysia kekal 3.7% pada Februari, didorong oleh kenaikan 7.4% harga di restoran dan hotel serta peningkatan 7% harga makanan.
Bagaimanapun, peningkatan lebih perlahan berlaku bagi kumpulan pengangkutan iaitu 3.7% berbanding Januari 2023 (4%) sedikit sebanyak mengimbangi inflasi daripada terus meningkat.
Firma itu mengekalkan unjuran inflasi negara pada paras 3% pada tahun ini. - DagangNews.com