KUALA LUMPUR 24 Mac - Harga penanda aras minyak sawit mentah (MSM) Malaysia berkemungkinan melemah di bawah AS$700 (kira-kira RM3,098) setiap tan menjelang akhir tahun berikutan peningkatan pengeluaran selepas mencatatkan permulaan positif dalam tiga bulan pertama, kata Fitch Ratings.
Harga semerta (spot price) adalah pada purata sekitar AS$915 (RM4,049) setiap tan pada suku pertama.
Kekurangan bekalan minyak biji bunga matahari akibat perang Rusia-Ukraine merupakan antara perkara utama risiko utama kepada jangkaan itu, kata agensi penarafan itu hari ini.
Harga MSM sejak lewat 2022 disokong oleh jangkaan pasaran terhadap penggunaan biodiesel yang jauh lebih tinggi dan eksport yang lebih rendah dari Indonesia, dan kesan hujan lebat pada permulaan tahun 2023 ke atas pengeluaran.
Bagaimanapun, data pengeluaran terkini dari Malaysia dan Indonesia menunjukkan bahawa hasil berada pada aliran menaik.
Firma penarafan itu berkata, kekurangan tenaga kerja asing di Malaysia juga sedang diatasi dengan pantas dan berkemungkinan diselesaikan pada separuh pertama 2023 (1HFY23).
"Ramalan kaji cuaca percaya bahawa gelombang El Nino akan berkembang bermula separuh kedua 2023 dan akan meningkatkan pengeluaran minyak kacang soya sebagai pengganti utama MSM menekan harga minyak sayuran global lain.
"El Nino dari segi sejarah dikaitkan dengan harga MSM yang lemah dan harga turun kepada purata sekitar AS$535 (RM2,367) setiap tan pada 2018-2019," katanya.
Fitch menaikkan unjuran harga penanda aras MSM jangka panjang melangkaui 2024 kepada AS$650 (RM2,876) satu tan, daripada AS$600 (RM2,655) satu tan selepas mengambil kira inflasi kos upah yang ketara bagi industri pada 2022-2023. - DagangNews.com