Harga siling pelitup muka masih boleh diturunkan | DagangNews Skip to main content

Harga siling pelitup muka masih boleh diturunkan

Pelitup muka

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Nilai harga siling bagi pelitup muka tiga lapis di negara ini dilihat masih boleh diturunkan kepada satu harga yang lebih rendah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, perkara tersebut dinilai berdasarkan kepada keberadaan semasa pelitup muka di pasaran.

"Mengapa kita boleh turun harga siling? Sebab keberadaan pelitup muka dipasaran sudah mengcukupi kerana sekarang sudah bertambah pengilang.

"Dulu kita ada enam pengilang di seluruh negara, sekarang sudah bertambah kepada 10 pengilang. Dan saya difahamkan pada Oktober ini akan ada empat pengilang lagi yang akan beroperasi mengeluarkan pelitup muka," katanya ketika menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) di Dewan Rakyat hari ini.

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi

 

Chin sebelum itu meminta KPDNHEP menjelaskan sama ada harga siling pelitup muka RM1 akan diturunkan secara berperingkat memandangkan bekalan pelitup muka adalah mengcukupi serta harga pasaran semasa yang jauh lebih murah daripada harga siling tersebut.

Terdahulu, KPDNHEP telah mengumumkan harga siling pelitup muka tiga lapis diturunkan daripada RM1.45 seunit kepada 90 sen seunit bagi harga borong.

Manakala bagi harga runcit pula, kerajaan telah menurunkan RM1.50 kepada RM1 bagi setiap unit pelitup muka yang telah dikuatkuasakan pada 15 Ogos 2020.

Cha Kee Chin
Cha Kee Chin

 

Tambah Alexander, pengoperasian 10 pengilang pada masa kini mampu mengeluarkan sebanyak 1.5 juta pelitup muka dalam masa sehari.

Beliau turut menjelaskan isu berkaitan harga siling pelitup muka kanak-kanak yang dikatakan dapat dikeluarkan dengan harga yang lebih rendah berbanding pelitup muka dewasa.

"Harga pelitup muka kanak-kanak adalah sama. Walaupun ukurannya agak kecil berbanding orang dewasa, tetapi di peringkat pengilang tidak mengambil kira soal saiz.

"Bagaimanapun, kami masih membuat rundingan berterusan bersama pemain industri dalam soal harga pelitup muka kanak-kanak dan sebagainya," jelasnya. - DagangNews.com