Harga simen dijangka stabil pada paras RM380 satu tan, disokong permintaan positif sektor pembinaan dan hartanah - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Harga simen dijangka stabil pada paras RM380 satu tan, disokong permintaan positif sektor pembinaan dan hartanah - RHB Investment

Projek pembinaan yang teguh akan terus memacu pertumbuhan dalam sektor bahan asas. - Gambar Naim Aziz /Dagangnews
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Sept - Harga simen pukal mulai stabil dan dijangka kekal pada paras RM380 bagi setiap tan disokong permintaan positif daripada sektor pembinaan dan hartanah.

 

RHB Investment berkata, harga simen dijangka kekal stabil  kerana terdapat permintaan daripada projek Lebuh Raya Pan Borneo, Jalan Rangkaian Sabah Sarawak, Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, Laluan Sistem Transit Laju (RTS-Link) Johor-Singapura dan Transit Aliran Massa 3 (MRT3).

 

"Kami tetap optimis akan prospek industri simen memandangkan adanya sinergi dengan sektor-sektor pembinaan dan hartanah.

 

"Dengan pelbagai projek infrastruktur yang dirancang di seluruh negara, syarikat bahan binaan - terutamanya pengeluar simen - berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan faedah limpahan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Mengenai sektor aluminium, firma penyelidikan itu berkata, harga aluminium global telah pulih daripada penurunan sementara pada Julai 2024, mungkin disebabkan oleh jangkaan pemotongan kadar oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) menjelang September.

 

Katanya, harga jualan purata aluminium (ASP) dijangka disokong oleh pengembangan kapasiti yang perlahan di Indonesia, permintaan jangka pertengahan hingga panjang daripada sektor hijau, dan kenaikan tarif AS ke atas import aluminium China kepada 25% daripada 7%.

 

“Bagaimanapun, sementara kami menjangkakan pertumbuhan dalam pemacu utama, seperti pengembangan kapasiti solar, akan berterusan, kadar itu mungkin sederhana pada separuh kedua tahun berbanding separuh pertama.

 

"Secara keseluruhan, kami menaik taraf sektor itu berdasarkan panggilan 'beli' untuk Press Metal Aluminium Holdings Bhd, yang memegang wajaran ketara sektor itu.

 

"Cahya Mata Sarawak Bhd (CMS) merupakan pilihan utama kerana pendedahan langsungnya kepada pemulihan aktiviti pembinaan di Sarawak, memandangkan peranannya yang menonjol sebagai penyedia simen terkemuka di negeri ini," katanya. - DagangNews.com