Hartalega catat kerugian bersih RM31.91 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2022 | DagangNews Skip to main content

Hartalega catat kerugian bersih RM31.91 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2022

KUALA LUMPUR 7 Feb - Hartalega Holdings Berhad mencatatkan kerugian bersih RM31.91 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2022 (3QFY23), berbanding keuntungan bersih RM259.06 juta dalam suku sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan dalam suku itu merosot kepada RM461.84 juta, kurang separuh berbanding RM1 bilion yang direkodkan dalam suku sama tahun sebelumnya.

 

Dalam tempoh sembilan bulan sehingga 31 Disember 2022, kumpulan itu bagaimanapun mencatatkan keuntungan bersih RM84.71 juta, jauh berbanding RM3.43 bilion dalam tempoh sama sebelumnya.

 

Pendapatannya dalam tempoh sama pula berjumlah RM1.89 bilion, juga jatuh mendadak berbanding RM6.92 bilion tahun sebelumnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Hartalega, Kuan Mun Leong berkata, kumpulan itu kekal optimis terhadap prospek jangka panjang kerana ia menjangkakan pertumbuhan permintaan akan kembali sebaik saja pasaran mencapai keseimbangan.

 

"Pertumbuhan pasca pandemik dalam permintaan global dijangka akan disokong oleh peningkatan penggunaan sarung tangan getah, terutamanya di pasaran sedang pesat membangun dengan asas penggunaan yang rendah, selain meningkatnya kesedaran mengenai kesihatan dan kebersihan dalam kalangan pengamal penjagaan kesihatan," katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian.

 

Beliau berkata, kumpulan akan terus menyeragamkan pelan pengembangan Kompleks Pembuatan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Seterusnya (NGC) 1.5 dengan dinamik bekalan dan permintaan pasaran sedia ada.

 

Katanya, ini disebabkan oleh penyederhanaan ketara harga jualan purata (ASP) dan volum jualan lebih rendah, selain kos tenaga dan buruh yang lebih tinggi.

 

Beliau turut menyatakan bahawa, prestasi lebih lemah adalah disebabkan persaingan semakin meningkat dalam sektor sarung tangan, dengan permintaan jualan lebih lemah susulan inventori berlebihan dan pelarasan stok dalam rantaian bekalan, yang sekali gus terus menjejaskan prestasi kumpulan.

 

"Persekitaran pasaran amat mencabar kerana sektor sarung tangan terus terkesan oleh kelemahan ASP disebabkan oleh situasi bekalan berlebihan global.

 

"Ini ditambah dengan kenaikan kos tenaga bagi kedua-dua tarif gas asli dan elektrik, selain pelaksanaan dasar gaji minimum baharu, menyebabkan tekanan semakin bertambah ke atas margin operasi pengeluar sarung tangan," katanya. - DagangNews.com