Hasil Affin Bank pada 2QFY24 susut kepada RM494.8 juta kesan tekanan margin faedah bersih | DagangNews Skip to main content

Hasil Affin Bank pada 2QFY24 susut kepada RM494.8 juta kesan tekanan margin faedah bersih

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Hasil Affin Bank Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) menyusut kepada RM494.8 juta berbanding RM504.9 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya disebabkan tekanan margin faedah bersih (NIM).

 

Bagaimanapun, untung bersih bagi suku tersebut meningkat kepada RM118.6 juta berbanding RM113.2 juta pada tahun sebelumnya.

 

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2024 (1HFY24) hasil kumpulan naik sedikit kepada RM999.3 juta berbanding RM999.1 juta dengan untung bersih juga menyusut kepada RM228.8 juta berbanding RM262.2 juta pada 1HFY23.

 

Kumpulan itu berkata, untung kasar mereka bagi 1HFY24 susut 15.2% kepada RM293.1 juta berbanding RM345.7 juta disebabkan tekanan NIM.

 

Katanya, pendapatan faedah bersih (NII) bagi tempoh itu ialah RM386 juta atau 11.5% lebih rendah berbanding RM436.2 juta pada 1HFY23.

 

Pendapatan bukan faedah (NOII) ialah RM284.2 juta, meningkat 7.8% daripada RM263.6 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama sebelumnya.

 

affin
Datuk Wan Razly Abdullah

 

"Fokus kumpulan terhadap pertumbuhan strategik jelas dalam jumlah asetnya, yang berkembang sebanyak 7.2% kepada RM108.2 bilion, meningkat daripada RM100.9 bilion dalam tempoh yang sama sebelumnya.

 

"Ia didorong oleh peningkatan 10.5% dalam portfolio pinjaman dan pembiayaan, mencecah RM69 bilion," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, menjangkakan normalisasi NIM pada separuh pertama 2025 akan disokong ramalan pemotongan 50-75 mata asas oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) dan keadaan ekonomi yang bertambah baik di Malaysia.

 

Bagaimanapun, tekanan NIM dijangka berlaku dalam jangka pendek kerana bank memberi tumpuan kepada pelanggan kualiti kredit yang lebih tinggi memandangkan keadaan ekonomi yang lemah. 

 

Selaras dengan tinjuan itu, beliau berkata, kmpulan akan meneruskan transformasi digitalnya dengan Fasa 2 pembangunan teras digitalnya, termasuk penambahbaikan kepada akaun simpanan akaun semasa (CASA), deposit dan keupayaan e-dompet.

 

"Platform perbankan mudah alih baharu kumpulan itu sedang berkembang baik, dengan sasaran Go-Live pada Disember 2024, yang dijangka mengukuhkan lagi francais deposit kumpulan.

 

"Kumpulan itu menyasarkan untuk mengoptimumkan struktur kos operasi dan kos dana kami sambil menyampaikan rumusan pelanggan yang inovatif untuk memenuhi jangkaan yang semakin berkembang," katanya.- DagangNews.com