Hasil BP Plastics diramal meningkat dipacu pelancaran produk baharu pada suku keempat 2024, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Hasil BP Plastics diramal meningkat dipacu pelancaran produk baharu pada suku keempat 2024, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Hasil BP Plastics Holding Bhd diramal meningkat menerusi pelancaran produk filem regangan serta filem pembungkusan baharu untuk sektor makanan dan minuman (F&B) yang dijadual berada di dalam pasaran pada suku keempat 2024.

 

Kenanga Research berkata, produk margin yang lebih tinggi serta filem regangan gred premium seharusnya mengurangkan kesan kenaikan kos dan berkemungkinan membentuk lebih 30% campuran jualan dalam beberapa tahun akan datang.

 

"Kumpulan itu berada pada kedudukan baik untuk memperoleh bahagian pasaran global memandangkan struktur kos yang lebih rendah berbanding rakan setaranya yang lain di luar negara," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, hasil kumpulan pada 1HFY24 meningkat 8% dipacu segmen eksport yang lebih kukuh, terutamanya ke negara Asia (+11%).

 

Bagaimanapun, untung bersih terasnya merosot sedikit sebanyak 1% disebabkan oleh kos pengeluaran yang lebih tinggi, seperti utiliti dan susut nilai, tetapi juga ketiadaan keuntungan pertukaran dalam 1HFY23.

 

Kumpulan itu juga telah menamatkan langganan program Tarif Elektrik Hijau (GET) pada Ogos 2023.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keputusan itu didorong oleh kadar GET yang lebih tinggi iaitu 21.8 sen/kWj (daripada 3.7 sen/kWj), berbanding surcaj ICPT konvensional sebanyak 17.0 sen/kWj pada separuh kedua 2023.

 

Katanya, pada masa ini, kadar GET berada pada 20 sen/kWj, yang kekal melebihi surcaj ICPT semasa sebanyak 16 sen/kWj.

 

Kenanga Research menyukai kumpulan itu kerana bertapak kukuh dalam pasaran Asia Tenggara yang dijangka kekal berdaya than walaupun terdapat ketidaktentuan global.

 

Katanya, rancangan pengembangannya terutama bagi kapasiti pengeluaran produk pembungkusan mampan seperti filem regangan nano, disokong oleh kunci kira-kira kukuh.

 

"Pemangkin penarafan semula yang berpotensi boleh menjadi penerimaan pasaran yang menggalakkan bagi produk margin tinggi baharunya seperti filem regangan dan produk filem pembungkusan baharu, kedua-duanya datang dari 2HFY24," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menaikkan penarafan kumpulan kepada 'outperform' berbanding 'market perform' dengan harga sasaran (TP) RM1.42 sesaham.- DagangNews.com