Hasil buah tandan segar meningkat, MIDF Research positif terhadap prospek Sime Darby Plantation | DagangNews Skip to main content

Hasil buah tandan segar meningkat, MIDF Research positif terhadap prospek Sime Darby Plantation

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 April - MIDF Research kekal positif terhadap prospek Sime Darby Plantation Berhad (SDP) tahun ini didorong hasil buah tandan segar (BTS) yang baik, profil umur pokok kelapa sawit yang matang iaitu 12.1 tahun serta operasi bersepadu.

 

Firma itu berkata, hasil FFB SDP merupakan antara yang terbaik dan operasi bersepadu segmen pembuatan akan (mengimbangi) penurunan dalam harga jualan purata minyak sawit mentah (MSM), sekali gus mengurangkan ketidakstabilan pendapatan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM5.50 sesaham berdasarkan kepada pendapatan sesaham tidak berubah bagi tahun kewangan 2023 sebanyak 25 sen," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Mengulas lanjut mengenai prospek BTS Malaysia, firma itu mengunjurkan peningkatan pengeluaran sebanyak 12% berikutan prestasi lebih baik ladang-ladang Malaysia hasil daripada peningkatan dalam situasi kekurangan tenaga kerja dalam sektor itu.

 

Mengenai pelupusan unit Indonesia, PT Ladangrumpun Suburabadi (LSI) dan PT Sajang Heulang (SHE), firma itu kekal 'neutral' terhadap perkembangan terkini sejajar dengan penyusunan semula dalaman syarikat bagi operasi bukan terasnya.

 

Sebelum ini, dua anak syarikat milik penuh SDP di Indonesia, iaitu PT Anugerah Sumbermakmur dan PT Minamas Gemilang, bersetuju untuk menjual 100% kepentingan kolektif mereka dalam dua syarikat perladangan itu kepada PT Global Berkat Usahatama.

 

Anak-anak syarikat Indonesia menjual kepentingan ekuiti kolektif 100% mereka dalam PT LSI dan PT SHE untuk jumlah gabungan RM518 juta. - DagangNews.com