KUALA LUMPUR 1 Mac - Kenanga Research menjangkakan IHH Healthcare Berhad mencatatkan perkembangan hasil bagi setiap pesakit antara 10% hingga 15%, pertumbuhan daya pengeluaran pesakit antara 10% hingga 15% dan kadar penghunian katil (BOR) antara 60% hingga 73% bagi hospital dibawah kendalian mereka di Malaysia, Singapura, India dan Turkiye pada 2023.
Firma itu percaya pertumbuhan utama bagi pesakit dan BOR didorong kehadiran semula pembedahan elektif dan pelancongan perubatan, penambahan katil baharu (sebelum ini dikekang oleh kekurangan kakitangan) dan sumbangan setahun penuh pertama daripada hospital Acibadem Atasehir.
Pada masa sama, firma itu menyemak turun unjuran untung bersih kumpulan itu bagi FY23 sebanyak 15% selaras dengan pengurangan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) bagi operasi Singapura dan Acibadem masing-masing kepada 21% dan 23%.
"Kami menyukai kumpulan itu kerana kuasa dalam menentukan harga dan kebolehan melepaskan kos walaupun berdepan peningkatan inflasi dan pemulihan yang kukuh dalam daya pengeluaram pesakit domestik serta antarabangsa.
"Selain itu mereka mereka juga menguasai pasaran penjagaan kesihatan swasta dengan kehadiran kukuh di Malaysia, Singapura, Turkiye dan China," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, untung bersih kumpulan itu menyusut sebanyak 17% kepada RM1.55 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) berbanding RM1.86 bilion setahun lalu disebabkan kerugian rosot nilai yang berkaitan dengan aset kumpulan di China.
Pendapatan operasi bersih menyusut 13% kepada RM1.4 bilion, manakala hasil meningkat kepada RM18.1 bilion daripada RM17.13 bilion sebelumnya disebabkan pemulihan kukuh daripada pendapatan teras bukan COVID-19 apabila pesakit domestik dan antarabangsa kembali mendapatkan rawatan di hospital kumpulan itu.
Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM7.00 sesaham.
"Bagaimanapun kumpulan itu berdepan beberapa risiko termasuk risiko kawal selia, risiko yang berkaitan dengan operasi di luar negara dan kekurangan kemahuan politik untuk melancarkan skim insurans kesihatan nasional," katanya. - DagangNews.com