Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 27 Ogos - Hasil syarikat Nestle Malaysia dijangka lebih mengukuh pada separuh kedua 2020.
CGS-CIMB Research berkata, perkara tersebut dinilai berdasarkan kepada empat perkara yang ditonjolkan syarikat berkenaan.
"Jangkaan itu berdasarkan kepada kekurangan perbelanjaan berkaitan dengan COVID-19 di samping permintaan yang bertambah baik dalam segmen Horeca.
"Selain itu, jangkaan ini turut dinilai kepada pelancaran produk baharu Nestle serta inisiatif penjimatan kos yang berterusan oleh syarikat berkenaan," jelas CGS-CIMB Research.
Nestle mencatatkan penurunan sebanyak 21.6% dalam jumlah keuntungan bersih syarikatnya pada separuh pertama 2020.
Penurunan tersebut disebabkan oleh prestasi penjualan yang lebih lemah, skala ekonomi yang rendah serta perbelajaan kos operasi yang lebih tinggi.
Manakala, syarikat tersebut terpaksa mengeluarkan kos secara one-off dengan anggaran RM50 juta untuk perbelanjaan berkaitan COVID-19.
Pada separuh pertama 2020, Nestle turut mengalami penurunan 4.8% berbanding tahun sebelumnya disebabkan oleh penjualan domestik yang perlahan, prestasi eksport yang tidak stabil selain permintaan yang lebih perlahan dalam segmen hotel, restoren dan katering (Horeca).
Menyokong kepada jangkaan pengukuhan tersebut, Nestle kini dalam perancangan mengembangkan lagi produktiviti syarikat khususnya produk berkaitan Maggi.
Selain itu juga, syarikat berkenaan bakal membina sebuah kilang di Shah Alam untuk pengeluaran produk makanan berasaskan tumbuhan yang dijangka siap pada separuh pertama 2021.
Nestle komited membangunkan segmen berasaskan makanan sebagai pertumbuhan utama syarikatnya untuk bergerak lebih maju seiring dengan permintaan.- DagangNews.com