Hasil pendapatan InNature diunjur menurun pada 3QFY22 kesan daripada kenaikan inflasi | DagangNews Skip to main content

Hasil pendapatan InNature diunjur menurun pada 3QFY22 kesan daripada kenaikan inflasi

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Okt - Hasil jualan dan pendapatan InNature Berhad bagi 3QFY22 dijangka menurun kesan daripada beberapa faktor termasuk kesan inflasi tinggi.

 

CGS-CIMB Research berkata, berdasarkan jangkaan, jualan mereka bagi suku itu akan pulih namun tetap akan mencatatkan penurunan didorong oleh kuasa membeli yang rendah, kenaikan kadar faedah semasa dan juga kekurangan kehadiran pelancong.

 

Katanya, berdasarkan kepada prestasi sebelum ini, InNature berjaya mengekalkan keuntungan tetapi pada kadar yang lebih rendah kerana margin keuntungan semakin mengecil akibat krisis kewangan serta penularan COVID-19.

 

"Sebagai contoh, margin untung kasar kumpulan itu menurun kepada 64.4% pada 2021 ketika COVID-19 sedang memuncak dan margin untung kasar sebelum pandemik adalah sebanyak 67% antara FY17 dan FY19.

 

"Kami bagaimanapun percaya, kumpulan itu akan mengalami kemerosotan margin untung kasar sekiranya Malaysia dilanda kemelesetan, walaupun mungkin tidak ketara kerana asas pelanggannya adalah besar," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu menyemak turun jangkaan perolehan sesaham (EPS) FY22-24 antara 0.7 hingga 1.7% bagi mencerminkan pendapatan dan margin operasi yang rendah.

 

Ia disebabkan penurunan kuasa membeli pengguna, kenaikan kadar faedah dan inflasi yang tinggi selain peningkatan kos operasi seperti sewa premis, pemasaran serta tenaga pekerja.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 55 sen sesaham selepas mengambil kira potensi risiko sentimen pengguna yang lemah pada 2HFY22," katanya. - DagangNews.com