Hextar Global sertai konsortium mohon lesen bank digital | DagangNews Skip to main content

Hextar Global sertai konsortium mohon lesen bank digital

 

 

KUALA LUMPUR 21 Julai - Hextar Global Bhd. memeterai perjanjian konsortium dengan Arcadia Acres Sdn. Bhd. dan Ihsan Equity Sdn. Bhd. berhubung permohonan lesen bank digital kepada Bank Negara Malaysia (BNM) pada 30 Jun lalu.

 

Arcadia adalah pemegang saham utama Dagang NeXchange Bhd. manakala Ihsan Equity pula membangunkan sistem bayaran mudah alih, FassPay.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, kenyataan bersama itu menyifatkan perjanjian tersebut adalah kali pertama membabitkan kerjasama 3 pihak dengan setiap rakan kongsi menyumbang kepakaran dan platform masing-masing untuk menubuhkan bank digital patuh syariah.  

 

"Konsortium ini percaya pendekatan bukan konvensional dan pengalaman serta fokus kepada ekosistem akan memberi pemahaman lebih baik dalam memenuhi perkhidmatan perbankan terhadap keperluan setiap komuniti.

 

"Oleh itu, ia dapat mewujudkan peluang yang sama untuk mengakses perkhidmatan kewangan dan memperkasa tahap khusus masyarakat dalam menghadapi cabaran mendapatkan akses kewangan, pendidikan dan kebebasan kewangan," katanya hari ini.

 

Menerusi kenyataan itu, Pengarah Eksekutif Hextar Global, Datuk Eddie Ong Choo Meng berkata, Arcadia telah menyediakan cadangan komprehensif yang meletakkan pelan tindakan jelas bagi menggalakkan inklusif dan literasi kewangan terutama dalam kalangan mereka yang diberi tumpuan.

 

Katanya, Arcadia dan Ihsan dilihat sebagai rakan kongsi strategik yang akan menjadi pemangkin dalam ruang perbankan digital. 

 

"Hextar Global adalah syarikat unggul dalam kumpulan Hektar dan kami mahu memastikan penyertaan kami dalam konsortium ini dapat memberi sumbangan yang bermakna," katanya.

 

Mengenai kepakaran Arcadia dalam ekonomi digital, Pengarah Urusannya, Zainal ‘Abidin Abd Jalil berkata, mereka memiliki pengalaman dan terlibat dalam projek kerajaan berkaitan teknologi digital menerusi DNeX dan Theta Edge Bhd.

 

"Ini secara tidak langsung memberi peluang kepada kami untuk memahami keperluan dan membina infrastruktur optimum bagi penubuhan bank digital berdasarkan teknologi termaju," katanya. - DagangNews.com