HIL Industries tutup operasi unit di China selepas alami kerugian akibat perang perdagangan AS-China | DagangNews Skip to main content

HIL Industries tutup operasi unit di China selepas alami kerugian akibat perang perdagangan AS-China

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 April - HIL Industries Berhad menghentikan operasi perniagaan anak syarikatnya, Hil Precision Plastic Technology (Suzhou) Co Ltd (HPPT) di China selepas mengalami kerugian kesan peperangan perdagangan China-Amerika Syarikat (AS).

 

Anak syarikat kumpulan itu ditubuhkan di Suzhou, Wilayah Jiangsu, dan mengeluarkan acuan ketepatan dan produk plastik berkaitan.

 

“Kumpulan itu telah memutuskan untuk menghentikan operasi perniagaan HPPT, kerana ia sangat bergantung kepada pelanggan yang berpangkalan di AS.

 

"Kami telah menyusun semula operasi di China selepas timbulnya beberapa masalah daripada perang perdagangan AS-China mengakibatkan kumpulan kehilangan perniagaan,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Anak syarikat kumpulan itu mencatatkan hasil operasi RM3.31 juta, kerugian kasar RM413,498, dan kerugian sebelum cukai RM3.55 juta, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

 

Menurut laporan tahunannya, penubuhan kilang Suzhou pada 2006 merupakan penerokaan pertama kumpulan itu ke pasaran luar negara.

 

Dengan lebih 12,000 meter persegi kilang yang dibina, kilang itu terlibat dalam pembuatan acuan, pengacuan suntikan, lukisan semburan dan pelbagai teknologi hiasan unik serta sub-pemasangan. - DagangNews.com