HIL sasar jualan RM43 juta projek Garden Homes Amverton Links di Klang | DagangNews Skip to main content

HIL sasar jualan RM43 juta projek Garden Homes Amverton Links di Klang

KUALA LUMPUR 26 Okt - HIL Industries Bhd menyasarkan jualan RM43 juta daripada projek Garden Homes di Amverton Links di Klang, Selangor.

 

Pengarah Urusan HIL, Datuk Milton Ng berkata, tawaran terbaharu dalam Amverton Links, yang akan dibangunkan berdasarkan konsep "bina dahulu, kemudian jual", mendapat sambutan positif daripada orang ramai semasa pelancaran awal projek itu baru-baru ini.

 

"Terdapat peningkatan dalam sentimen terhadap pasaran hartanah, yang dapat dilihat melalui sambutan positif yang diterima oleh pelancaran awal projek kami baru-baru ini.

 

"Kami yakin projek itu akan menerima kadar pengambilan yang baik daripada pembeli rumah, sama seperti projek kami dalam Amverton Links.

 

"Kerja-kerja pembinaan untuk projek rumah bandar Garden Homes berada di landasan untuk disiapkan, dengan 50 peratus daripada kerja-kerja siap," katanya.

 

Garden Homes berpagar dan berkawal menduduki petak pegangan bebas seluas 2.06 hektar di Amverton Links, yang terdiri daripada 100 unit rumah bandar berukuran 24 kaki kali 80 kaki dengan binaan antara 980 kaki persegi dan 1,259 kaki persegi.

 

Harga jualan bermula daripada RM470,000 dan unit itu dijangka siap pada suku keempat (Q4) 2025.


 

Datuk Milton Ng
                                     Datuk Milton Ng

 


Kemudahan lain yang dirancang untuk kawasan itu termasuk komuniti berpagar dan berkawal, dua tahun yuran penyelenggaraan percuma dan lima tahun penggunaan percuma Clubhouse di Amverton Links.

 

Kemudahan berdekatan termasuk bank, pusat membeli-belah, hospital pakar, sekolah awam dan antarabangsa.

 

Pembangunan itu disambungkan ke lima lebuh raya utama, iaitu Lebuhraya Baru Lembah Klang, Lebuhraya Shah Alam, Lebuhraya Lembah Klang Selatan, Lebuhraya Damansara-Puchong, lebuh raya Persekutuan dan Lebuhraya Pantai Barat yang akan siap tidak lama lagi.

 

HIL Industries juga menyasarkan untuk melancarkan pembangunan hartanah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM275.7 juta menjelang Q1 2023.

 

Antara projek itu ialah 154 unit rumah teres dua tingkat berstrata di Sungai Buloh dan 141 unit banglo berstrata di Amverton Cove, Pulau Carey. - DagangNews.com