Hilang rasa hargai lukisan batik: mengapa? | DagangNews Skip to main content

Hilang rasa hargai lukisan batik: mengapa?

Lukisan Ismail Mat Husin yang bermutu tinggi dan sudah tiada lagi yang baharu sebab seniman ini sudah gemulah.
Oleh Daeng Ramli Akil

WACANA ini bersandar kepada karya-karya agung atau masterpiece Ismail Mat Husin, seorang daripada seniman yang berasal dari Kelantan.

 

Allahyarham Ismail juga terkenal di seluruh dunia kerana beliau adalah seniman yang berjaya menghasilkan karya lukisan batik (batik painting) yang satu-satunya genre seni yang mutunya bertaraf dunia, sesudah batik cetak (batik printing) menjadi karya kegunaan rakyat, juga dikenali sebagai batik basahan.

 

 

Ismail Mat Husin
Allahyarham Seniman Ismail Mat Husin

 

 

Selain Ismail Mat Husin, Chuah Thean Teng sudah lebih awal menceburi dunia lukisan batik. Mendiang mendapat perhatian Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia Pertama yang berkelulusan ijazah undang-undang, United Kingdom.

 

Dengan bantuan Tun, nama Thean Teng melonjak ke seluruh dunia hingga mendapat anugerah cemerlang dari Vietnam. Seniman yang berasal dari Cina ini berjaya menghasilkan ribuan buah karya, malah berjaya menjual ribuan karya. Antara karya bersaiz besarnya dipamerkan di Galeri Seni Universiti Malaysia.

 

Thean Teng yang menjadi rakyat Pulau Pinang ini menjadi jutawan kerana bekerjaya sebagai seniman lukisan batik. Selain itu, seniman Malaysia yang terkenal di dunia kerana genre ini ialah Khalil Ibrahim (allahyarham), Chan Fee Ming dan seorang berdua lagi, seumpama Ramli Malik (allahyarham).


 

batik

 


Isu: mengapa hilang rasa hargai lukisan batik?

Ia menjadi isu kerohanian kerana ironis. Maksudnya, ia ibarat oksigen kepada jiwa. Nyawa memerlukan oksigen untuk hidup, manakala jiwa dan rohani memerlukan penglihatan kepada karya kesenian yang mengasyikkan.

 

Lukisan batik yang bermutu taraf dunia kaya elemen kesenian laras tinggi. Ramai doktor perubatan di Malaysia jadikan lukisan sebagai hiasan klinik. Juga, doktor falsafah di universiti melakukan perkara serupa.

 

Ada setidak-tidaknya sepuluh alasan lagi lukisan batik wajar dihargai. Selain persoalan kesihatan rohani, ia menjurus ke arah pembersihan dan selanjutnya penyucian akal dan hati.

 

Juga, ia boleh menenangkan jiwa, langsung menyembuhkan penyakit sakit hati, dendam, cemburu, kecewa dan berontak. Goethe, seniman dan intelektual Jerman sudah jelaskan betapa apa jua karya seni yang bermutu tinggi jadi penawar jiwa. Lantas, ia mesti dilihat setiap pagi, juga bermaksud dimiliki.

 

Ismail Mat Husin sudah hasilkan ratusan buah lukisan batik. Temanya sosial, manakala subjeknya berbeza-beza, namun menjurus ke arah gambaran aktiviti masyarakat kelas bawahan Melayu di pantai timur Semenanjung Malaysia.

 

Ismail mengabadikan para penukang kayu, pengukir logam, peraih ikan, pengayuh beca. Nelayan, pengait pukat dan jala, pemain alat muzik tradisi Melayu, penari mak yong, pemain gasing, pembuat wau dan penjual pakaian batik.

 

Mengamati kesemua lukisan batik, saya berhasil mengesan ribuan tanda mutu tinggi menurut ilmu kesenian dan estetika. Ia selari dengan ciri teori kreativiti Zhangwill, pendekatan art-based research Shaun McNiff, juga prinsip keindahan yang diketengahkan oleh Socrates, Bapa Falsafah Dunia dan Aristotle, Bapa Estetika Dunia. Kedua-duanya ialah seniman yang hidup era kegemilangan Athens, kira-kira dua ribu seratus tahun lalu.


 

batik

 

batik

 

 

Lukisan batik Ismail mengandungi figura watak yang seimbang pada aspek bentuk. Latarnya kelihatan jelas unsur jarak dan panorama. Garisan-garisan yang membentuk figura melampiaskan keindahan sempurna. Ia memercikkan penawar untuk mencapai ketenangan jiwa.

 

Warna yang diguna pakai kaya jenis dan tona. Seimbas pandang, seolah-olah Ismail melukis catan akrilik di atas kain, iaitu bagaikan mudah mencalit warna.

 

Pengalaman saya menghasilkan lukisan batik pada tahun 1975 sewaktu di maktab, jadikan saya faham kesukaran kerja. Kain perlu dipilih, diikuti sketsa pensel. Kemudian, lilin yang khas dicairkan dalam melting pot dan tjanting diguna pakai seolah-olah pen untuk melukis di atas kain untuk mencipta garisan putih pada kain.

 

Sesudah itu, warna kain atau dai (dye) diguna pakai di atas lukisan. Kemudian, warna batik dicatkan di atas kain. Ia ditutupi dengan lilin cair. Seterusnya kain diwarnakan lagi. Lilin cair menutupi warna lagi.

 

Puluhan kali, jika tidak ratusan kali proses pewarnaan dan penutupan dengan lilin berlangsung. Selanjutnya, kerja pembersihan lilin dilakukan pada lukisan. Ia diikuti peregangan kain dan pembingkaian.

 

Proses terakhir ialah penyempurnaan (touch-up). Ismail Mat Husin amat hati-hati dalam tugasan kesenian.

 

 

batik

 

 

batik

 

 

Nah, setelah mengetahui perihal tiga perkara, iaitu keperluan memiliki lukisan batik, lebih-lebih lagi karya Ismail Mat Husin, diikuti kepayahan menghasilkan lukisan batik, dan terpenting, karya bermutu laras dunia, kalangan jutawan di dunia wajar berasa terpanggil untuk menghargai.

 

Saya yakin bahawa pasti ada pembaca DagangNews yang memiliki hati yang halus dan tersentuh apabila melihat foto lukisan batik Ismail Mat Husin, apatah lagi  melihat lukisan asli. Disedari bahawa harga sesebuah lukisan Ismail Mat Husin ialah puluhan ribu ringgit, malah ada yang berharga ratusan ribu, dan dimiliki sejumlah kolektor yang berada di seluruh dunia.

 

Mencuba beli lukisan batik yang banyak dijual di kedai-kedai di Kelantan, yang harganya sekitar puluhan atau ratusan ringgit, ia menjadi suatu usaha ikhlas untuk mendapatkan barangan seni yang boleh menceriakan hati kesemua penghuni.

 

Ia bukan setakat ketua keluarga, lazimnya bapa, malah juga anak, cucu, cuit, gamit. Harus juga sesuai untuk untuk menjadi penawar hati yang cemburu apabila mengetahui pasangan mahu memasang cawangan baru. Atau, memperbaiki hati pasangan yang sedang diperangkap penyakit selingkuh (curang).

 

Ismail pernah luahkan sesuatu perihal penyakit begitu dan diakuinya, lukisan batiknya menyelamatkan keadaan.

 

 

batik

 

batik

 

 

Kesimpulannya, menghargai lukisan batik yang bermutu laras dunia boleh membawa laba berganda. Beli sekian ringgit, sesudah dimiliki, boleh dijual semula, pada harga ratusan, malah ribuan.

 

Apatah lagi lukisan Ismail Mat Husin yang bermutu tinggi dan sudah tiada lagi yang baharu sebab seniman ini sudah gemulah.

 

Sebagai ahli akademik seni S3, (kedoktoran) yang sudah siap mengkaji kubisme Pablo Picasso, seniman genius di dunia, tugasan saya ialah mengkaji secara lebih mendalam metafora, imejan dan ‘personifikasi visual’ yang tersirat dalam lukisan Ismail Mat Husin dan karya rakan-rakannya. - DagangNews.com

 

 

Daeng Ramli Akil ialah ahli akademik, seniman visual, (sejak 1960-an), sasterawan, penulis skrip, pengarah dan penerbit filem (sejak awal tahun 1990-an) yang kian aktif dan penyelidik. Ratusan karya catannya dimiliki ratusan doktor di dunia, selain menteri, duta dan universiti.