KUALA LUMPUR 1 Mac - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan Matrix Concepts Holdings Berhad akan memenuhi jumlah pekerja asing yang diperlukan pada Mac 2023.
Firma itu berkata, kumpulan itu sebelum ini menerima kelulusan bagi pengambilan hampir 400 tenaga kerja berdasarkan keperluan dan pada Februari 2023, mereka menerima lebih 25% daripada jumlah itu.
"Kami menjangkakan perkara itu akan mempercepatkan pengiktirafan jualan yang belum dibilkan bermula 4QFY23 dan seterusnya.
"Selain itu, kos tenaga kerja juga semakin berkurangan dengan ketara berbanding kemuncaknya pada tahun lalu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu meraih pendapatan lebih tinggi, melonjak 56.1% kepada RM363.8 juta pada suku ketiga berakhir 31 Disember 2022, berbanding RM233.9 juta, disokong pembangunan projek yang siap sepenuhnya iaitu The Chambers, Kuala Lumpur serta M. Greenvale, Australia.
Dengan pendapatan lebih tinggi, untung kasar suku dikaji lebih kukuh kepada RM150.7 juta, meningkat 10.7% berbanding RM136.2 juta.
Bagaimanapun, untung bersih kumpulan itu berada pada RM53.6 juta, 9.1% lebih rendah daripada RM59.1 juta yang dicatatkan suku sama tahun sebelumnya disebabkan campuran produk yang merangkumi sumbangan margin kasar yang lebih rendah daripada projek Kuala Lumpur dan Australia.
Firma itu percaya, pelancaran projek baharu kumpulan itu akan diterima dengan baik dengan infrastruktur serta kemudahan jalan raya di kawasan perbandaran yang matang selain keududkan Bandar Seri Sendayan ke Lembah Klang akan menarik lebih banyak permintaan.
Firma itu menyemak turun unjuran pendapatan kumpulan bagi FY23 sebanyak 10.1% selepas mengambil kira keputusan kewangan mereka tetapi mengekalkan sasaran untuk FY24 dan FY25.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM1.82 sesaham. - DagangNews.com