HLIB kekal berhati-hati terhadap prospek Lii Hen Industries | DagangNews Skip to main content

HLIB kekal berhati-hati terhadap prospek Lii Hen Industries

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Feb - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research kekal berhati-hati terhadap prospek Lii Hen Industries Berhad bagi FY23 selagi kadar tukaran mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) kekal tinggi.

 

Firma itu berkata, kadar yang tinggi akan menyebabkan bayaran balik pinjaman tinggi menyebabkan kadar penurunan kemampuan pemilikan hartanah.  

 

Katanya, memandangkan perumahan AS semakin sukar untuk dimiliki dan jumlah rumah terjual semakin sedikit membuatkan permintaan terhadap perabot menurun.

 

"Keadaan itu akan menjejaskan pendapatan kumpulan itu pada suku berikutnya kerana AS merupakan destinasi eksport utama. 

 

"Bagaimanapun, sekiranya dolar AS lebih kuat berbanding ringgit, ia boleh membantu mengimbangi sebahagian penurunan dalam jumlah jualan seperti ditunjukkan dalam suku semasa," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih pengeluar perabot itu bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) melonjak 98.13% kepada RM74.83 juta berbanding RM37.77 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Peningkatan itu disebabkan oleh kos bahan mentah yang digunakan secara relatif lebih rendah berbanding dengan FY21.

 

Kumpulan itu berkata,  penyusutan hasil sebanyak 2.45% kepada RM730.88 juta berbanding RM749.27 juta sebelumnya.

 

Ia berkata gangguan berpanjangan dalam rantaian bekalan global dan caj penghantaran yang terlalu tinggi pada separuh pertama tahun, ditambah pula dengan tahap pegangan stok yang tinggi di gudang pelanggan dan permintaan yang berkurangan disebabkan jangkaan kelembapan dalam ekonomi, memberi kesan pada tahun semasa.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah 82 sen sesaham. - DagangNews.com