HLIB kekal saranan 'beli' terhadap Focus Point dengan TP RM1.51 | DagangNews Skip to main content

HLIB kekal saranan 'beli' terhadap Focus Point dengan TP RM1.51

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Sept - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'beli' untuk Focus Point Holdings Berhad pada harga sasaran (TP) lebih tinggi RM1.51 sesaham berbanding RM1.39.

 

Firma itu yakin bahawa dengan keputusan kukuh kumpulan itu dan menganggap bahawa momentum itu akan berterusan dengan pembukaan semula ekonomi sepenuhnya selepas negara melangkah ke fasa endemik.

 

Katanya, perkembangan positif pada 2QFY22 hasil daripada kehadiran orang ramai ke pusat beli belah selain jualan kukuh di wilayah selatan selepas pembukaan semula sempadan antarabangsa.

 

"Kami difahamkan bahawa kehadiran pelancong amat menggalakkan dengan jualan di walayah selatan terdiri daripada 60% pelanggan Singapura dan mereka telah mengenal pasti dua lagi lokasi tambahan untuk cawangan Anggun Optometrist baharunya (kini terdapat di tiga cawangan).

 

"Secara keseluruhan, kumpulan itu telah melancarkan tujuh cawangan baharu sehingga 1HFY22 dan tujuh lagi akan dibuka pada 2HFY22," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, cawangan yang lama juga menyumbang kepada perkembangan kumpulan selepas menjalani pengubahsuaian dan ia dapat dilihat menerusi cawangan Focus Point  di Wangsa Walk yang menunjukkan peningkatan jualan selepas diubah menjadi kedai konsep baharu.

 

Pertumbuhan itu juga akan disumbangkan oleh pelanggan optik korporat baharunya.

 

Pada masa sama, kumpulan itu berada di dalam fasa akhir untuk mengeluarkan produk sejuk beku macaron dalam segmen makanan dan minuman (F&B) tetapi dijangka berlaku kelewatan kerana masih menunggu kelulusan makmal. 

 

"Inovasi baharu itu akan dibekalkan kepada rangkaian pasar raya dan rangkaian penerbangan," katanya. - DagangNews.com