KUALA LUMPUR 3 Okt - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor perbankan didorong pertumbuhan keuntungan yang stabil.
Firma itu berkata, pada Ogos 2022, bahagian pinjaman berkembang pantas pada kadar 6.8% hasil daripada sumbangan segmen isi rumah dan perniagaan
Secara keseluruhan katanya, pertumbuhan pinjaman sekali lagi mengatasi jangkaan pertumbuhan 5.5- 6.0% tahun penuh FY22 dan firma itu menyemak semula unjuran antara 6.0-6.5% memandangkan pemulihan ekonomi yang kukuh.
"Kelulusan pinjaman meningkat sebanyak 81.4% (berbanding 77.7% pada Julai) selepas mengambil kira sumbangan pinjaman sektor isi rumah (113.8% berbanding 119.8% pada Julai) dan perniagaan (63.1% berbanding 49.8% pada Julai)," katanya dalam satu nota kajian hari ini.
Firma itu berkata, nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) pada Ogos 2022 menurun 1bp kepada 1.84% disokong oleh penurunan 4bp dalam segmen isi rumah dan diimbangi kenaikan 3bp dalam segmen perniagaan.
"Kami menjangkakan nisbah GIL akan meningkat tetapi tidak perlu dibimbangi kerana bank telah membuat persediaan awal pada FY20-21 untuk mengimbangi perkara itu," katanya.
Firma itu menyukai Maybank (harga sasaran (TP): RM9.70) untuk bank bersaiz besar berdasarkan pemberia dividen yang kukuh.
Bagi bank bersaiz sederhana, RHB (TP: RM6.60) menjadi pilihan berdasarkan kepada Nisbah Ekuiti Tier-1 (CET) yang tinggi dan harga saham yang menarik.
"Bagi bank bersaiz kecil, kesemua tiga bank yang berada di bawah liputan kami diberikan saranan 'beli' untuk alasan yang berbeza, BIMB (TP: RM3.00) adalah kerana harga sahamya yang stabil manakala Affin Bank (TP: RM2.35) kerana pemberian dividen istimewa selain kedudukan kewangan yang kukuh.
"Alliance Bank (TP: RM4.05) menjadi pilihan kerana pemberian dividen tunai antara 6-7% dan perutukan pengurusan yang besar," katanya. - DagangNews.com