KUALA LUMPUR 26 Julai - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research memulakan liputan terhadap UMediC Group Berhad dengan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) 61 sen sesaham.
Firma itu berkata, selaku penerima manfaat daripada pandemik COVID-19, pendapatan teras kumpulan itu berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 103% bermula FY19 hingga FY21 didorong penjualan peranti perubatan.
Mereka mengunjurkan pendapatan FY22/23/24f berkembang sebanyak 31.7%/41.0%/18.1%, jauh melebihi 12.1% CAGR yang diunjurkan oleh Protege untuk industri peranti perubatan tempatan.
"Ia didorong pendapatan yang kukuh daripada kedua-dua segmen serta ruang yang besar untuk peningkatan bahagian pasaran kerana kumpulan itu menyumbang hanya 0.2% daripada jumlah industri peranti perubatan di Malaysia
"Selain itu ia juga memiliki sumbangan yang kukuh daripada segmen pembuatan yang menyumbang kepada margin keuntungan lebih besar," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, kumpulan itu menyasarkan untuk mengembangkan bahagian pembuatannya dengan membangun dan mengkomersialkan lebih banyak produk berjenama sendiri.
Katanya, beberapa produk keluaran mereka sudah dikenal pasti untuk dikomersialkan dalam tempoh dua tahun akan datang termasuk air steril untuk penyedutan, nebuliser, meter aliran oksigen digital dan penderia pelembap.
"Pada masa yang sama, UMediC sedang mendapatkan peranti perubatan yang lebih inovatif daripada pembekal dan prinsipal sedia ada, serta membangunkan perniagaan pengedaran jenama baharu.
"Jumlah masa yang banyak diperlukan untuk membawa produk ke pasaran dan proses pemilihan yang ketat akan menjadi penghalang semula jadi untuk kemasukan," katanya. - DagangNews.com