HLIB optimis terhadap prospek UWC didorong pemulihan dalam segmen perniagaan, industri | DagangNews Skip to main content

HLIB optimis terhadap prospek UWC didorong pemulihan dalam segmen perniagaan, industri

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Jun - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research optimis terhadap prospek UWC Bhd didorong pemulihan dalam segmen perniagaan kumpulan dan industri. 

 

Katanya, mereka terus memberi fokus untuk memulakan projek baharu, menerima pelanggan baharu dan menyusun strategi pelan pertumbuhan jangka panjang bagi mengoptimumkan peluang perniagaan yang berpotensi. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu juga sedang mengembangkan kapasiti bagi perniagaan pembuatan semikonduktor bahagian hadapan dan projek kenderaan elektrik (EV)

 

"Mereka menyasarkan untuk menyiapkan Fasa 2 kemudahan baharunya di Taman Perindustrian Batu Kawan menjelang Disember 2024, manakala kemudahan baharu Taiping sedia untuk kerja-kerja fabrikasi.

 

"Segmen EV telah menunjukkan pertumbuhan yang menjanjikan kerana dua daripada model penguji bateri EV sedang dalam pengeluaran besar-besaran," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, pada suku ketiga berakhir 30 April 2024 (3QFY24), untung bersih kumpulan itu susut kepada RM4.02 juta berbanding RM4.7 juta setahun lalu.

 

Hasil bagi suku tersebut ialah RM66 juta berbanding RM47.7 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelumnya didorong sumbangan hasil daripada anak-anak syarikat yang baru diambil alih.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM2.76 sesaham. - DagangNews.com