KUALA LUMPUR 27 Mac - Jalinan kerjasama antara Dagang NeXchange Berhad (DNeX) bersama Ajlan & Bros Holding Group (Ajlan) yang berpangkalan di Arab Saudi merupakan usaha positif untuk syarikat itu.
Syarikat kerjasama itu menyasarkan untuk meneroka peluang perniagaan bernilai tinggi seperti digital, awan serta Industri 4.0 dan ia selaras dengan visi transformasi digital Arab Saudi menjelang 2030.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, syarikat itu adalah milik bersama dengan pegangan 50% masing-masing antara DNeX dan Ajlan.
"Difahamkan bahawa lembaga pengarah akan terdiri daripada enam orang, degan DNeX akan melantik tiga dan Ajlan akan memilih tiga yang lain.
"Kami percaya bahawa ini adalah satu langkah positif ke hadapan dan kami menjangkakan beberapa kontrak baharu daripada Kerajaan Arab Saudi untuk syarikat itu tidak lama lagi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Penubuhan syarikat kerjasama itu adalah persediaan untuk menjalankan perniagaan integrasi sistem di bandar pintar dan projek perusahaan berskala besar di Asia Barat dan Afrika Utara (MENA) serta projek yang dibangunkan Ajlan & Bros Holding dan anak syarikatnya.
Di bawa kerjasama itu, Ajlan & Bros Holding akan bertanggungjawab untuk membida bersama projek bandar pintar Arab Saudi dengan DNeX, serta projek perusahaan besarnya yang sedia ada.
Sementara itu, DNeX akan bertanggungjawab untuk reka bentuk, pembekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian dan pentauliahan infrastruktur dan aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Firma itu mengekalkan unjuran pendapatan DNeX dan ia kekal sehingga syarikat kerjasama itu meraih beberapa kontrak yang akan menyumbang secara positif kepada mereka.
"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran tidak berubah RM1.03 sesaham," katanya. - DagangNews.com