HLIB positif terhadap prospek DRB-Hicom dalam segmen automotif | DagangNews Skip to main content

HLIB positif terhadap prospek DRB-Hicom dalam segmen automotif

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Mac - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research kekal positif terhadap prospek DRB Hicom Berhad terhadap segmen automotif dengan memanfaatkan Proton Holdings Berhad, Honda dan Mitsubishi.

 

Bagi Proton, Firma itu berkata, kumpulan itu telah mencapai pertumbuhan jualan tahunan positif sejak penstrukturan semula pada 2017, didorong peningkatan permintaan untuk SUV siri X baharunya.

 

Katanya, memasuki 2023, Proton menyasarkan pertumbuhan setahun lagi kepada 147,000 unit dengan potensi peningkatan.

 

"DRB-Hicom juga memberi gambara bahawa margin keuntungannya kekal stabil pada FY23.

 

"Mengenai pasaran eksport, DRB-Hicom menyasarkan 10,000 unit. Kumpulan itu yakin dengan rancangan pemulihan 10 tahun Proton untuk menjadi peneraju utama di Malaysia dan tiga teratas di rantau ASEAN," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, Honda menyasarkan jualan sebanyak 80,000 unit pada FY23 dengan anggaran tertunggak sebanyak 40,000 unit

 

“Kami menjangkakan jualan akan disokong oleh pelancaran model baharu oleh Honda tahun ini.

 

"Begitu juga, kedua-dua Mitsubishi dan Isuzu juga menerima permintaan kukuh dan dijangka mengekalkan prestasi pada 2023," katanya.

 

Firma itu menjangkakan segmen hartanah kumpulan itu akan bertambah baik dengan pelancaran projek baharu.

 

Katanya, segmen itu mengalami kerugian pada tahun ini disebabkan kelewatan untuk menyiapkan Media City dan kelewatan dalam pelancaran projek baharu, yang terjejas akibat COVID-19.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.24 sesaham. - DagangNews.com