HLIB positif terhadap strategi perkhidmatan kewangan komuniti kumpulan Maybank | DagangNews Skip to main content

HLIB positif terhadap strategi perkhidmatan kewangan komuniti kumpulan Maybank

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Mac - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research positif terhadap langkah Malayan Banking Berhad (Maybank) selepas mengetahui strategi yang akan digunakan dalam segmen perkhidmatan kewangan komuniti kumpulan (GCFS). 

 

Firma itu yakin bahawa kumpulan itu akan memanfaatkan segmen itu sebaik mungkin.

 

Minggu lalu, Maybank mengadakan Hari Pelabur bagi memberikan lebih banyak maklumat tentang segmen GCFS.

 

Firma itu menekankan bahawa GCFS ialah segmen perniagaan yang penting, kerana ia menjana 59% daripada hasil Maybank dan 53% daripada keuntungan operasi praperuntukan (PPOP).

 

"Dari tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 (FY18) hingga FY22, kami melihat kedua-dua barisan teratas dan PPOP meningkat dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) yang membanggakan sebanyak 5% hingga 6%.

 

“Penunjukan yang baik itu disokong oleh pinjaman yang kukuh dan CAGR deposit sebanyak 4% hingga 5% dalam tempoh empat tahun. Tambahan pula, GCFS membentuk 60% hingga 66% daripada jumlah pinjaman dan deposit.

 

"Oleh itu, Maybank melihat untuk menggandakan francais GCFS untuk memacu pertumbuhan seterusnya,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, strategi Maybank untuk GCFS adalah untuk mempercepatkan pertumbuhan portfolio teras merentasi pasaran utama melalui cadangan yang mengutamakan pelanggan, mentakrifkan semula had segmen bukan runcit, mengembangkan tenaga jualan khusus, dan memanfaatkan sinergi merentas sektor sempadan.

 

Katanya, GCFS juga dirangka strategi untuk mengejar kecemerlangan operasi secara berterusan, mengembangkan perkhidmatan dan platform digital teras.

 

Selain itu, mereka akan mengekalkan kualiti aset melalui disiplin pengurusan proaktif dalam penjanaan kredit, yang mana ini akan didorong oleh program strategik di bawah pelan permainan M25+.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM8.90 sesaham," katanya. - DagangNews.com