HLIB semak turun unjuran keuntungan teras bersih Hiap Teck Venture kesan penurunan harga keluli | DagangNews Skip to main content

HLIB semak turun unjuran keuntungan teras bersih Hiap Teck Venture kesan penurunan harga keluli

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Okt - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menyemak turun unjuran keuntungan teras bersih Hiap Teck Venture Berhad sebanyak 64.7% dan 36.2% bagi FY23 serta FY24.

 

Firma itu berkata, unjuran itu dibuat selepas mengambil kira ketidakpadanan antara harga input pembuatan keluli utama dan produk keluli serta andaian margin keuntungan yang lebih kecil daripada segmen perdagangan selain pembuatan. 

 

"Pengurusan kumpulan sangat berhati-hati terhadap prestasi suku tahun akan datang berikutan penurunan harga keluli dan kos inventori yang lebih tinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, keuntungan bersih kumpulan susut 59.53% sebanyak RM24.48 juta bagi suku keempat berakhir 31 Julai 2022 (4QFY22) berbanding RM60.48 juta pada tahun lalu selepas mencatatkan margin lebih rendah bagi operasi hiliran kesan peningkatan kos barang jualan.

 

Kumpulan itu juga mencatatkan keuntungan yang lebih rendah daripada operasi sebanyak RM6.68 juta berbanding RM21.64 juta sebelumnya, disebabkan oleh  penurunan nilai inventori kepada nilai boleh direalisasi bersih sebanyak RM203.32 juta.

 

Selain itu, bahagian keuntungannya daripada jalinan kerjasama (JV) juga berkurangan kepada RM22.75 juta daripada RM49.45 juta disebabkan oleh aliran menurun harga keluli dan kos bahan mentah yang lebih tinggi.

 

Bagi tahun kewangan FY22, untung bersih kumpulan itu susut 4.54% kepada RM156.01 juta daripada RM163.43 juta walaupun hasil meningkat 46.34% kepada RM1.58 bilion daripada RM1.08 bilion.

 

Firma itu menyemak turun saranan kepada 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 24 sen lebih rendah berbanding 52 sen sebelum ini. - DagangNews.com