HLIB unjur komitmen dividen RM40 bilion Petronas pada 2023 mampu direalisasikan | DagangNews Skip to main content

HLIB unjur komitmen dividen RM40 bilion Petronas pada 2023 mampu direalisasikan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Mac - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengunjurkan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mampu merealisasikan komitmen dividen bagi tahun ini sebanyak RM40 bilion.

 

Firma itu berkata, kedudukan tunai bersih Petronas meningkat kepada RM97.1 bilion pada akhir Disember 2022 daripada RM56.7 bilion pada akhir Disember 2021.

 

"Kami berpendapat keuntungan dan aliran tunai Petronas akan kembali normal pada 2023 seiring dengan andaian harga minyak mentah purata yang lebih rendah sepanjang tahun, kami percaya komitmen dividen sebanyak RM40 bilion boleh direalisasikan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, syarikat minyak dan gas negara itu telah membayar dividen berjumlah RM50 bilion untuk 2022 dan menurunkan komitmennya tahun ini.

 

Petronas merekodkan untung bersih bagi suku keempat 2022 (4QFY22) sebanyak RM21.7 bilion, menjadikan pendapatan teras tahun kewangan 2022 (FY22) kumpulan itu kepada RM94.1 bilion selepas diselaraskan untuk RM1.8 bilion kerugian kemerosotan nilai bersih yang dilakukan sepanjang tempoh tahun.

 

Ia juga didorong oleh jumlah pengeluaran dan jualan yang lebih tinggi di semua bahagian perniagaan utamanya, iaitu segmen huluan, gas dan hiliran.

 

BACA JUGA: Untung bersih Petronas melonjak hampir dua kali ganda kepada RM101.6 bilion pada FY22

 

“Perbelanjaan modal FY22 Petronas berjumlah RM49.7 bilion, sejajar dengan aliran tunai operasinya yang lebih baik sebanyak RM135.3 bilion, walaupun kurang daripada sasaran 2022 sebanyak RM60 bilion.

 

"Kami mengunjurkan perbelanjaan modal sebanyak RM40 bilion untuk 2023. Kami percaya ini akan menjadi petanda baik untuk sektor minyak dan gas tempatan kerana kebanyakan penyedia perkhidmatan tersenarai dalam ruang perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) sangat bergantung kepada Petronas sebagai pelanggan utama dan akan menjadi penerima langsung pembangunan ini," katanya.

 

Firma itu menyemak turun penarafan sektor miyak dan gas kepada 'neutral' berbanding 'overweight' sebelum ini.

 

“Kami berpendapat 2023 akan menjadi tahun keemasan bagi penyedia perkhidmatan minyak dan gas (pemain OGSE) – ketinggalan kepada persekitaran harga minyak yang tinggi untuk tahun lalu," katanya.

 

Pilihan utama firma itu untuk sektor berkenaan ialah Dagang Nexchange Berhad (beli dengan harga sasaran (TP) RM1.03), Bumi Armada Berhad (beli dengan TP 87 sen) dan Dialog Group Berhad (beli dengan TP RM2 .80).

 

Selain itu, firma itu turut menurunkan taraf sektor minyak dan gas kepada 'neutral'selepas musim pendapatan Petronas Chemicals Group Berhad (jual dengan TP RM6.54), Petronas Dagangan Berhad (jual dengan harga TP RM19.12 ) dan Velesto Energy (jual dengan TP 21 sen). - DagangNews.com