HLIB unjur margin faedah bersih Affin Bank menyusut akibat persaingan kadar simpanan tetap | DagangNews Skip to main content

HLIB unjur margin faedah bersih Affin Bank menyusut akibat persaingan kadar simpanan tetap

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Feb - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengunjurkan margin faedah bersih (NIM) Affin Bank Berhad menyusut didorong beberapa faktor termasuk penetapan semula harga deposit yang matang.

 

Firma itu berkata, ia juga disebabkan akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) digunakan dan digantikan kepada simpanan tetap (FD) selain persaingan sengit untuk harga FD.

 

Katanya, pertumbuhan pinjaman dilihat sederhana disebabkan persekitaran makro domestik yang mencabar.

 

"Nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) berkemungkinan meningkat tetapi kami tidak terlalu bimbang kerana kami percaya kumpulan itu lebih bersedia berbanding kemerosotan sebelumnya

 

"Elaun pendahuluan yang besar yang dibina pada FY20-21 dan 3QFY22 bagi memerangi masalah pandemik COVID-19 dan kerugian kredit daripada kenaikan kadar dasar semalaman (OPR), bertindak sebagai penampan yang teguh untuk menampung sebarang kelemahan aset kualiti dalam jangka pendek," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2022 (4QFY22) turun satu pertiga pada asas tahun ke tahun kepada RM138.26 juta manakala hasil lebih rendah sedikit pada RM566.71 juta daripada RM572.13 juta pada suku yang sama tahun lalu.

 

Keuntungan bersih untuk keseluruhan tahun kewangan 2022 (FY22) meningkat hampir tiga kali ganda kepada RM1.3 bilion berikutan hasil yang meningkat kepada RM3.3 bilion daripada RM2.24 bilion pada FY21.

 

Firma itu berkata, kedua-dua pinjaman dan pertumbuhan deposit kekal kukuh pada 15.4% dan 10.5%.

 

Katanya, secara berurutan, nisbah pinjaman kepada deposit (LDR) meningkat 2ppt secara berurutan kepada 91%. 

 

Bagi kualiti aset, nisbah GIL meningkat 6bp QoQ terutamanya disebabkan oleh peningkatan pada segmen modal kerja dan harta tanah.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran RM2.20 sesaham," katanya. - DagangNews.com