KUALA LUMPUR 1 Mac - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan margin faedah bersih (NIM) CIMB Group Holdings Berhad menyusut didorong beberapa faktor termasuk penentuan semula harga bagi deposit matang.
Firma itu berkata, jangkaan itu juga berdasarkan penggunaan akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) dan digantikan kepada depsoit tetap (FD) selain persaingan harga yang sengit untuk FD.
Katanya, pertumbuhan pinjaman dilihat sederhana disebabkan persekitaran makro domestik yang perlahan.
"Nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) mungkin meningkat tetapi kami percaya CIMB sudah bersedia untuk berhadapan sebarnag kemungkinan berbanding kemerosotan sebelumnya.
"Elaun pendahuluan yang besar yang dibina pada FY20-21 dan 2Q-4QFY22 untuk memerangi masalah pandemik COVID19 dan kerugian kredit daripada kenaikan kadar dasar semalaman (OPR), bertindak sebagai penampan yang teguh untuk menampung sebarang kelemahan kualiti aset dalam jangka pendek," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
BACA JUGA:CIMB catat untung bersih RM6.21 bilion bagi tahun 2022, meningkat 33.5% berbanding 2021
Firma itu berkata, bank itu mencatatkan pendapatan teras 4QFY22 sebanyak RM1.3 bilion menjadikan jumlah FY22 kepada RM5.5 bilion selaras dengan jangkaan, membentuk 101-103% daripada ramalan tahun penuh dan konsensus.
Firma itu melihat melihat pendapatan bukan faedah (NOII) meningkat 13% memandangkan yuran yang lebih baik dan keuntungan tukaran mata wang asing selain NIM berkembang 2bp.
Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM5.85 sesaham. - DagangNews.com